Terkini
‘Semoga Putin mati’, Doa Krismas rakyat Ukraine – Zelenskyy
- Dalam ucapan tradisi Krismas kepada rakyat Ukraine, Zelenskyy berkata terdapat kepercayaan lama bahawa pada malam Krismas “langit terbuka” dan setiap doa yang dipanjatkan akan menjadi kenyataan iaitu kematian Putin.
- “‘Semoga dia mati,’ mungkin terlintas di hati setiap daripada kita. Namun apabila kita berpaling kepada Tuhan, sudah tentu kita memohon sesuatu yang lebih besar,” ujar Zelenskyy, merujuk kepada Putin tanpa menyebut namanya secara langsung.
KYIV — Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dalam ucapan malam Krismasnya menyuarakan hasrat mendalam rakyat Ukraine terhadap kematian Presiden Rusia, Vladimir Putin, sambil mengecam serangan berterusan Rusia ke atas negaranya.
Dalam ucapan tradisi Krismas kepada rakyat Ukraine, Zelenskyy berkata terdapat kepercayaan lama bahawa pada malam Krismas “langit terbuka” dan setiap doa yang dipanjatkan akan menjadi kenyataan iaitu kematian Putin.
“Sejak zaman dahulu, rakyat Ukraine percaya bahawa pada malam Krismas, langit terbuka. Dan jika kamu menyatakan impianmu, ia pasti menjadi kenyataan. Hari ini, kita semua berkongsi satu impian dan satu doa untuk kita semua.
“‘Semoga dia mati,’ mungkin terlintas di hati setiap daripada kita. Namun apabila kita berpaling kepada Tuhan, sudah tentu kita memohon sesuatu yang lebih besar,” ujar Zelenskyy, merujuk kepada Putin tanpa menyebut namanya secara langsung.
Menurutnya, rakyat Ukraine memohon keamanan untuk Ukraine, dan menegaskan bahawa mereka terus berjuang serta berdoa untuknya.
“Kita berjuang demi keamanan. Kita berdoa untuknya. Dan kita berhak memilikinya,” katanya, sambil menambah rakyat Ukraine mengimpikan setiap keluarga dapat hidup harmoni dan setiap kanak-kanak bergembira dengan hadiah, senyuman serta keyakinan terhadap kebaikan dan keajaiban.
Sejak melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada awal 2022,Russia didakwa menggunakan tempoh Krismas untuk melancarkan serangan besar, bukannya bersetuju dengan gencatan senjata.
Pada 25 Disember 2022, ketika Ukraine menyambut Krismas pertamanya dalam keadaan perang penuh, Moscow melancarkan serangan besar-besaran menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas infrastruktur tenaga, menyebabkan gangguan bekalan elektrik meluas serta korban awam.
Putin kemudian mengarahkan tenteranya melaksanakan gencatan senjata pada 6 dan 7 Januari 2023 iaitu Malam Krismas dan Hari Krismas mengikut kalendar Julian yang digunakan oleh sebahagian gereja Ortodoks Timur.
Namun pertempuran dilaporkan berterusan, dan menjelang tengah hari 7 Januari, pihak berkuasa Ukraine melaporkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 14 cedera akibat serangan Rusia di sekurang-kurangnya tujuh wilayah.
Pada tahun 2023, serangan dron Rusia mengorbankan empat orang di Kherson, ketika Ukraine secara rasmi menyambut Krismas pada 25 Disember buat kali pertama selepas mengubah tarikh daripada tradisi Ortodoks Timur pada 7 Januari.
Tahun lalu pula, Rusia melancarkan lebih 70 peluru berpandu dan lebih 100 dron pada 25 Disember, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang awam serta menyebabkan kira-kira setengah juta penduduk kehilangan bekalan pemanasan di wilayah Kharkiv.-The Merdeka Times