Connect with us

Terkini

Militan Hindutva edar pedang untuk serang Muslim di Ghaziabad

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video tersebut.
  • Polis India menahan enam aktivis kumpulan Hindutva, Hindu Raksha Dal, kerana mengedar lebih dua dozen pedang di kawasan perumahan Shalimar Garden, dipercayai untuk digunakan terhadap komuniti Muslim, menurut seorang pegawai polis.
  • “Hindu mesti dilengkapi dengan senjata untuk melawan Muslim. Hindu Raksha Dal akan membantu komuniti Hindu. Keadaan Hindu di Bangladesh ketika ini sangat menyedihkan dan mereka dibunuh. Kami tidak akan membiarkan keadaan Hindu di sini menjadi seperti Hindu di Bangladesh,” – Presiden Hindu Raksha Dal, Bhupendra Chowdhry

UTTAR PRADESH — Polis India menahan enam aktivis kumpulan Hindutva, Hindu Raksha Dal, kerana mengedar lebih dua dozen pedang di kawasan perumahan Shalimar Garden, dipercayai untuk digunakan terhadap komuniti Muslim, menurut seorang pegawai polis.

Enam individu yang ditahan itu merupakan sebahagian daripada 17 pemegang jawatan kumpulan berkenaan yang dinamakan sebagai tertuduh dalam kes tersebut, termasuk presidennya, Bhupendra Chowdhry atau dikenali sebagai ‘Pinki’, yang kini masih melarikan diri.

Timbalan Pesuruhjaya Polis (Trans Hindon), Nimish Patil, berkata lebih dua dozen lagi aktivis kumpulan itu yang belum dikenal pasti turut didakwa berkaitan kes sama.

Menurut beliau, kes tersebut didaftarkan di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita melibatkan Seksyen 191(2) berkaitan rusuhan, Seksyen 191(3) iaitu rusuhan bersenjata menggunakan senjata berbahaya yang boleh menyebabkan kematian, serta Seksyen 127(2) berkaitan kurungan salah.

Pasukan polis kini giat menyerbu lokasi persembunyian ahli kumpulan itu yang sebelum ini dilaporkan mengadakan perarakan di kawasan perumahan berkenaan.

Ketika perarakan tersebut, mereka melaungkan slogan pro-Hindu dan anti-Muslim sebelum bergerak dari rumah ke rumah untuk mengedarkan senjata.

“Polis tidak akan membenarkan mana-mana kumpulan mengganggu keharmonian serta ketenteraman awam. Semua tertuduh yang dikenal pasti dan tidak dikenal pasti akan diberkas. Ketika ini, mereka masih melarikan diri,” kata Patil dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Bhupendra Chowdhry memuat naik sebuah video di media sosial mendakwa bahawa kira-kira 250 senjata telah diedarkan kepada orang awam untuk menghadapi Muslim yang didakwanya menyerang keluarga Hindu serta mencabul wanita Hindu.

“Hindu mesti dilengkapi dengan senjata untuk melawan Muslim. Hindu Raksha Dal akan membantu komuniti Hindu. Keadaan Hindu di Bangladesh ketika ini sangat menyedihkan dan mereka dibunuh. Kami tidak akan membiarkan keadaan Hindu di sini menjadi seperti Hindu di Bangladesh,” katanya dalam video tersebut.

Patil turut memaklumkan bahawa pihak polis memantau rapi situasi keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan itu, yang dikelilingi kawasan majoriti Muslim seperti Shaheed Nagar dan Pasonda, bagi mengelakkan sebarang ketegangan atau keganasan kaum tercetus.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author