Terkini
Laporan dedah UAE pelanggan rahsia senjata Israel bernilai 2.3 bilion dolar
- Laporan media risikan Perancis, Intelligence Online mendedahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikenal pasti sebagai pelanggan rahsia dalam perjanjian pertahanan gergasi bernilai AS$2.3 bilion dengan syarikat senjata Israel, Elbit Systems.
- Penganalisis pertahanan berpangkalan di Washington, Bilal Saab, menyifatkan kurangnya pendedahan media mengenai urusan itu berpunca daripada kekurangan maklumat terperinci walaupun ia merupakan perjanjian besar.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikenal pasti sebagai pelanggan rahsia dalam perjanjian pertahanan gergasi bernilai AS$2.3 bilion dengan syarikat senjata Israel, Elbit Systems, menurut laporan media risikan Perancis, Intelligence Online.
Perjanjian itu diumumkan Elbit pada November lalu, namun identiti pelanggan tidak didedahkan ketika itu. Elbit memaklumkan kontrak tersebut merangkumi tempoh lapan tahun bagi membekalkan teknologi pertahanan canggih kepada pelanggan antarabangsa.
Laporan terbaharu mendakwa UAE membeli sistem pertahanan elektronik baharu untuk melindungi pesawat tentera dan awam, dipercayai sistem perlindungan J-Music yang menggunakan teknologi laser bagi mengganggu sensor peluru berpandu yang dilepaskan ke arah pesawat.
Penganalisis pertahanan berpangkalan di Washington, Bilal Saab, menyifatkan kurangnya pendedahan media mengenai urusan itu berpunca daripada kekurangan maklumat terperinci walaupun ia merupakan perjanjian besar.
Kerjasama teknologi pertahanan antara UAE dan Israel dijangka terus berkembang. Media turut melaporkan hubungan rapat antara UAE, Elbit Systems, dan syarikat pertahanan Emiriah, Edge Group, susulan beberapa projek bersama sejak beberapa tahun lalu termasuk dron, kapal tanpa pemandu dan sistem pengawasan.
Hubungan UAE-Israel kekal kukuh walaupun perang Gaza menjejaskan hubungan Israel dengan negara Arab lain.
UAE menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Israel pada 2022 di bawah Perjanjian Abraham yang ditaja Amerika Syarikat.
Penganalisis serantau melihat langkah UAE sebagai sokongan strategik kepada Israel, ketika banyak negara Arab lain mengambil pendirian lebih tegas terhadap serangan Israel di Gaza.
Perjanjian pertahanan bernilai besar ini dijangka menarik perhatian Washington, khususnya dalam kalangan pembuat dasar Amerika yang risau mengenai peluasan pengaruh teknologi ketenteraan di Timur Tengah.-The Merdeka Times