Terkini
Gaza bongkar pengkhianatan pemimpin Arab terhadap umat Islam – Khaled Abou El Fadl
- Sarjana Islam terkemuka dan profesor undang-undang Universiti California, Khaled Abou El Fadl, menyifatkan sikap pemimpin Arab dan negara Islam yang terus tunduk kepada Amerika Syarikat sebagai “memalukan” dan memberi amaran bahawa mereka akan kekal menjadi boneka Barat selagi gagal bersatu.
- Beliau turut mendakwa beberapa negara Islam secara aktif bersekongkol dalam pengepungan Gaza, termasuk Mesir yang didakwa memainkan peranan penting dalam menyekat laluan keluar Palestin serta mengaut keuntungan daripada krisis tersebut.
- Manakala Jordan dan Emiriah Arab Bersatu pula didakwa membantu memastikan kepentingan ekonomi Israel tidak terjejas sepanjang perang.
Sarjana Islam terkemuka dan profesor undang-undang Universiti California, Khaled Abou El Fadl, menyifatkan sikap pemimpin Arab dan negara Islam yang terus tunduk kepada Amerika Syarikat sebagai “memalukan” dan memberi amaran bahawa mereka akan kekal menjadi boneka Barat selagi gagal bersatu.
Beliau mengkritik keras tindakan beberapa pemimpin Muslim, termasuk dari Arab Saudi, Mesir, Pakistan dan Jordan, yang memuji Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, atas kononnya usaha perdamaian, meskipun Washington terus membekalkan Israel dengan sokongan ketenteraan, kewangan dan diplomatik sepanjang pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Menurut Abou El Fadl, tingkah laku itu bukan sekadar lemah dari sudut politik, malah merupakan pengkhianatan terhadap moral dan nilai Islam, kerana pemimpin-pemimpin tersebut meneruskan hubungan perdagangan serta kerjasama dengan Amerika Syarikat dan Israel seolah-olah tragedi Gaza tidak pernah berlaku.
“Gaza telah membongkar ketidakabsahan sepenuhnya pemerintahan pemimpin Arab,” katanya, sambil menegaskan bahawa legitimasi mereka tidak berpaksikan sokongan rakyat sendiri, sebaliknya bergantung kepada Amerika Syarikat dan Israel.
Beliau turut mendakwa beberapa negara Islam secara aktif bersekongkol dalam pengepungan Gaza, termasuk Mesir yang didakwa memainkan peranan penting dalam menyekat laluan keluar Palestin serta mengaut keuntungan daripada krisis tersebut, manakala Jordan dan Emiriah Arab Bersatu pula didakwa membantu memastikan kepentingan ekonomi Israel tidak terjejas sepanjang perang.
Abou El Fadl menyifatkan dunia Islam kini berada pada tahap kelemahan paling rendah dalam sejarah, tanpa mana-mana negara Islam muncul sebagai kuasa ketenteraan, ekonomi atau teknologi utama, sebaliknya terperangkap dalam perpecahan mazhab dan kesetiaan palsu kepada kuasa Barat.
Beliau memberi amaran bahawa selagi negara-negara Islam terus bertelagah sesama sendiri khususnya konflik Sunni-Syiah, Israel dan kuasa Barat akan terus mengeksploitasi perpecahan itu untuk mengekalkan penguasaan hegemoni di rantau tersebut.
Mengulas normalisasi hubungan dengan Israel, termasuk Perjanjian Abraham, Abou El Fadl berkata retorik sokongan terhadap negara Palestin hanyalah lip service, kerana tindakan sebenar pemimpin Arab jelas bercanggah dengan kenyataan awam mereka.
Menurut beliau, satu-satunya jalan keluar ialah kesatuan dunia Islam merentas sempadan negara, penyelarasan ekonomi dan pembinaan kekuatan bersama, sambil menegaskan bahawa “apabila negara-negara Islam bersatu, ia menjadi satu barisan yang sangat digeruni dan dunia akan terpaksa memberi perhatian.”-The Merdeka Times