Terkini
Gas Gaza jadi sasaran, Masuk agenda AS–Israel–UAE
- Amerika Syarikat (AS), Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilapor sedang membincangkan rancangan menggunakan keuntungan gas Gaza bagi membantu proses pembinaan semula wilayah yang musnah akibat serangan Israel, menurut sumber kepada Middle East Eye (MEE)..
- Menurut pakar gas Timur Mediterranean, Michael Barron, projek itu berpotensi menguntungkan dengan nilai pembangunan sekitar AS$750 juta serta anggaran hasil sebanyak AS$4 bilion.
Amerika Syarikat (AS), Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilapor sedang membincangkan rancangan menggunakan keuntungan gas Gaza bagi membantu proses pembinaan semula wilayah yang musnah akibat serangan Israel, menurut sumber kepada Middle East Eye (MEE).
Perbincangan awal itu termasuk cadangan agar syarikat minyak nasional UAE, Abu Dhabi National Oil Company (Adnoc), mengambil pegangan dalam projek gas marin Gaza yang masih belum dibangunkan, sekali gus menjana dana bagi proses pemulihan Gaza.
Sumber menyatakan rundingan masih di peringkat awal dan tiada komitmen rasmi dibuat, namun idea itu kembali mendapat perhatian pada Disember lalu.
Gas ditemui di Gaza sejak tahun 2000.
Hak pembangunan dikongsi antara Palestine Investment Forum dan Consolidated Contractors Company, manakala 45 peratus lagi dikhaskan kepada rakan kongsi antarabangsa.
Menurut pakar gas Timur Mediterranean, Michael Barron, projek itu berpotensi menguntungkan dengan nilai pembangunan sekitar AS$750 juta serta anggaran hasil sebanyak AS$4 bilion.
Keuntungan tahunan mencecah AS$100 juta dijangka disalurkan kepada Pihak Berkuasa Palestin selama 15 tahun.
“Ini adalah sumber asli paling bernilai milik rakyat Palestin ketika ini. Pembangunannya boleh menyumbang kepada proses pembinaan semula,” katanya.
Bagaimanapun, AS dan Israel masih jauh daripada rancangan pembinaan semula Gaza secara menyeluruh.
Ketika ini, fokus Washington tertumpu kepada cadangan pembinaan unit perumahan sementara di bahagian Gaza yang dikuasai Israel.
Perancangan pasca perang pimpinan AS juga menghadapi penolakan negara serantau, termasuk Mesir dan beberapa negara Teluk, yang enggan terlibat selagi Gaza kekal terpecah.
Dalam masa sama, AS dan Israel turut mengadakan perbincangan mengenai integrasi gas Gaza dengan rangkaian medan gas Timur Mediterranean yang lebih besar. UAE dijangka memainkan peranan utama dalam rancangan itu, berbanding Qatar atau Arab Saudi yang menolak pembiayaan pembinaan semula Gaza.
Biarpun serangan Israel ke atas Gaza telah dikategorikan sebagai genosid oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UAE kekal sebagai rakan rapat Israel dan AS dalam rundingan berkaitan masa depan Gaza termasuk sektor energinya.
Setakat ini, kedua-dua pihak kedutaan UAE dan Israel di Washington belum memberi respons terhadap laporan tersebut.-The Merdeka Times