Antarabangsa
Israel belanja RM730 juta kawal naratif AI: ChatGPT jadi alat propaganda Baharu
- Menurut dokumen yang difailkan kepada Jabatan Kehakiman AS di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA), Kementerian Luar Israel telah mengupah firma berpangkalan di AS, Clock Tower, untuk melaksanakan strategi komunikasi digital berskala besar yang diselaras melalui Government Advertising Bureau dan dilaksanakan oleh Havas Media Network.
- Sasaran kempen ini ialah generasi muda khususnya Gen Z di platform seperti TikTok, Instagram, YouTube dan podcast, dengan matlamat mencapai 50 juta tontonan sebulan.
- Antara elemen paling kontroversial ialah usaha Clock Tower mempengaruhi cara sistem kecerdasan buatan seperti ChatGPT, X Grok dan Google Gemini memberi maklum balas terhadap soalan berkaitan Israel.
Israel dilaporkan melancarkan kempen diplomasi awam paling besar di Amerika Syarikat sejak perang Gaza bermula, dengan peruntukan lebih setengah bilion shekel (kira-kira RM730 juta) bagi mempengaruhi wacana digital termasuk sistem kecerdasan buatan generatif seperti ChatGPT.
Menurut dokumen yang difailkan kepada Jabatan Kehakiman AS di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA), Kementerian Luar Israel telah mengupah firma berpangkalan di AS, Clock Tower, untuk melaksanakan strategi komunikasi digital berskala besar yang diselaras melalui Government Advertising Bureau dan dilaksanakan oleh Havas Media Network.
Sasaran kempen ini ialah generasi muda khususnya Gen Z di platform seperti TikTok, Instagram, YouTube dan podcast, dengan matlamat mencapai 50 juta tontonan sebulan.
Langkah ini diambil selepas sokongan terhadap Israel dalam kalangan belia Amerika merosot mendadak. Tinjauan Gallup pada Julai lalu mendapati hanya 9 peratus rakyat AS berumur 18 hingga 34 tahun menyokong operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Satu lagi kajian oleh Kementerian Luar Israel pula menunjukkan hampir 47 peratus rakyat Amerika percaya Israel sedang melakukan genosid.
Antara elemen paling kontroversial ialah usaha Clock Tower mempengaruhi cara sistem kecerdasan buatan seperti ChatGPT, X Grok dan Google Gemini memberi maklum balas terhadap soalan berkaitan Israel. Dokumen FARA menjelaskan firma itu akan membina laman web dan kandungan bagi “membentuk hasil perbualan GPT,” sekali gus berpotensi menjejaskan data latihan model AI dan persepsi global terhadap Israel.
Pendekatan itu digelar “Generative Engine Optimization (GEO)”, iaitu versi baharu pengoptimuman enjin carian (SEO) untuk sistem AI. Pakar keselamatan siber Israel, Gadi Evron, menyifatkannya sebagai bidang strategik yang sedang berkembang pantas kerana mampu menentukan sumber rujukan utama AI dalam menghasilkan jawapan.
Di tengah usaha ini ialah Brad Parscale, bekas pengurus kempen Donald Trump dan ketua Clock Tower, yang juga pegawai strategi utama Salem Media Group, rangkaian penyiaran konservatif Kristian di AS. Melalui projek yang dikenali sebagai Project 545, kerajaan Israel memperuntukkan 545 juta shekel (AS$145 juta) untuk strategi diplomasi awam tahun 2025, dengan fokus memerangi antisemitisme dan mengubah persepsi terhadap Israel.
Kempen ini turut menggantikan kontrak bernilai AS$600,000 dengan firma PR Demokratik SKDKnickerbocker, yang sebelum ini mengendalikan projek “ladang bot” mempromosikan naratif pro-Israel termasuk kisah keluarga Bibas yang diculik di Gaza. Kontrak itu ditamatkan selepas ia terdedah kepada umum dan mencetuskan kritikan meluas.
Selain itu, Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri Israel turut memperluas strategi melalui Project Esther, yang menyokong rangkaian influencer pro-Israel di AS dengan bayaran antara puluhan hingga ratusan ribu dolar sebulan. Influencer ini diwajibkan menghasilkan 25 hingga 30 kandungan bulanan di TikTok, Instagram dan platform lain, bagi memperkukuh naratif Israel secara organik di media sosial.
Skala kempen ini terserlah apabila Benjamin Netanyahu sendiri bertemu sekumpulan influencer pro-Israel di Konsulat Israel di New York baru-baru ini. Dalam pertemuan itu, beliau menegaskan bahawa “senjata paling penting hari ini ialah media sosial” dan menyeru pelaburan besar dalam TikTok serta kerjasama dengan Elon Musk bagi “menang dalam medan perang paling penting.”
Namun, reaksi terhadap pertemuan itu bercampur-baur.
Sesetengah pengguna media sosial menuduh peserta tidak sensitif terhadap keluarga tebusan Israel yang sedang berdemontrasi di luar konsulat, manakala penyokong mereka mendakwa langkah itu penting bagi menentang antisemitisme dan mengekalkan solidariti dalam kalangan masyarakat Yahudi di seluruh dunia.-The Merdeka Times