Connect with us

Terkini

(VIDEO) Johari akui tersilap faham status tanah Kg Sungai Baru, gesa pembangunan kekal milik Melayu

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengakui pernah terkhilaf dalam memahami status tanah di Kampung Sungai Baru, selepas sebelum ini menegaskan kawasan itu hanya berstatus pajakan (leasehold) kerana melibatkan projek perumahan PKNS.

Johari berkata, kekhilafan itu berpunca daripada maklumat awal yang beliau terima daripada Perbadanan Pengurusan Kampung Baru (MAS) bahawa Kampung Sungai Baru tidak termasuk dalam kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS), kerana status asalnya ialah milikan bebas atau tidak tertakluk di bawah pentadbiran MAS.

“Saya pun dulu terkhilaf, pasal tak nampak isu ini. MAS cakap Sungai Baru tak masuk dalam MAS. 880 lot asal semua milikan bebas.

“Tapi bila saya nampak perkara ini, tidak boleh jadi. Sebab itu saya cakap, oleh kerana kita tak boleh tarik balik perkara ini, kita minta pemaju buat rumah yang orang Melayu sahaja yang boleh beli,” katanya.

Beliau menjelaskan, dokumen yang ditemuinya baru-baru ini menunjukkan Sungai Baru sebenarnya sebahagian daripada enclave Melayu yang telah digazetkan Residen British pada 16 Februari 1932.

Perisytiharan itu melibatkan lebih 220 ekar tanah Kampung Baru sebagai kawasan penempatan Melayu, meskipun ketika itu Sungai Baru masih kawasan tepi sungai tanpa lot tanah.

Apabila sungai dibesarkan, kawasan itu bertukar menjadi tanah biasa dan Kerajaan Negeri Selangor sebelum penubuhan Wilayah Persekutuan memutuskan agar ia dibangunkan dengan rumah flat PKNS untuk menampung permintaan tinggi penempatan Melayu. Namun, keputusan itu tidak sempat diwartakan sebelum Kuala Lumpur diambil alih oleh kerajaan Persekutuan pada 1974, menyebabkan status tanah berkenaan terlepas daripada rekod rasmi.

Johari menegaskan, pembangunan semula Sungai Baru mesti kekal di bawah pemilikan Melayu, selaras dengan sejarah dan bukti dokumen yang ada.

“Kalau pemaju rasa ada orang Melayu boleh beli RM700,000, buatlah. Kalau RM600,000 pun buatlah. Tapi kalau mereka tak boleh jual kepada orang Melayu, mereka tidak boleh dapat pengecualian.

“Ini tanah khas, tanah anugerah sejak 125 tahun lalu. Kalau pemaju enggan patuh, kita boleh bawa ke mahkamah kerana ada bukti Residen British pada 1932 menyatakan kawasan ini milik Melayu,” katanya.

Sebelum ini, Johari pernah menjelaskan kepada media bahawa berbeza dengan Kampung Baru yang berstatus pegangan kekal (freehold), tanah di Sungai Baru adalah pegangan pajakan (leasehold) kerana melibatkan projek PKNS.

Namun, penemuan dokumen baru menunjukkan Sungai Baru tidak boleh disamakan dengan projek perumahan biasa kerana asal-usulnya adalah sebahagian daripada tanah yang diiktiraf untuk penempatan Melayu.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author