Antarabangsa
Tiada negara selamat di bawah kerajaan Netanyahu – Bekas penasihat Pentagon
- Penganalisis dasar luar dan bekas penasihat Pentagon, Jasmine el-Gamal berkata demikian susulan serangan Israel di Doha, Qatar, pada Selasa yang menyasarkan kepimpinan Hamas dan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang anggota keselamatan diplomatik Qatar.
- “Tiada siapa dan tiada tempat di rantau ini yang selamat di bawah kerajaan Netanyahu. Ini bukan kali pertama beliau mengarahkan serangan ke atas negara berdaulat. Setiap kali perkara ini berlaku, AS, Eropah, dan negara lain sama ada mengabaikan, menggalakkan, atau menyokongnya,” tegas el-Gamal.
DOHA – Penganalisis dasar luar dan bekas penasihat Pentagon, Jasmine el-Gamal, memberi amaran bahawa tiada tempat di rantau Asia Barat yang selamat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Beliau berkata demikian susulan serangan Israel di Doha, Qatar, pada Selasa yang menyasarkan kepimpinan Hamas dan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang anggota keselamatan diplomatik Qatar.
“Tiada siapa dan tiada tempat di rantau ini yang selamat di bawah kerajaan Netanyahu. Ini bukan kali pertama beliau mengarahkan serangan ke atas negara berdaulat. Setiap kali perkara ini berlaku, AS, Eropah, dan negara lain sama ada mengabaikan, menggalakkan, atau menyokongnya,” tegas el-Gamal kepada agensi media MEE.
Serangan tersebut menyasarkan pemimpin kanan Hamas, Khalil el-Hayya, yang terselamat, namun anak lelakinya terbunuh. Qatar menafikan mengetahui lebih awal mengenai serangan itu, dan mengecam tindakan Israel sebagai pencerobohan terhadap kedaulatannya.
Presiden AS, Donald Trump, dilaporkan hanya memaklumkan Qatar selepas serangan berlaku, dan kemudian menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, bagi menyatakan kekesalan serta berjanji perkara itu tidak akan berulang.
Qatar sebelum ini memainkan peranan sebagai pengantara penting antara Israel dan Hamas. Namun, serangan di wilayahnya menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan negara Teluk itu serta kestabilan diplomatik serantau.
El-Gamal menegaskan bahawa sokongan kuasa besar terhadap tindakan Israel berisiko menghakis norma kedaulatan antarabangsa dan menambah ketegangan di rantau tersebut.-The Merdeka Times