Antarabangsa
Smotrich cadang rampas 82 peratus wilayah Tebing Barat
- Dalam sidang media pada Rabu, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich menegaskan peta kedaulatan baharu perlu memastikan “tiada negara pengganas Arab” ditubuhkan di tengah wilayah Israel.
- “Hak kita bukan sahaja bersifat alkitabiah, sejarah dan moral, tetapi juga politik dan keselamatan. Kedaulatan ini akan menghalang musuh menubuhkan sebuah negara Palestin yang lebih besar daripada Israel, yang berpotensi meletakkan kita kembali kepada sempadan Auschwitz,” katanya.
TEL AVIV — Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan agar Israel melaksanakan pengambilalihan secara paksa 82 peratus wilayah Tebing Barat, satu langkah yang menurutnya penting bagi memastikan keselamatan Israel dan menghalang kewujudan sebuah negara Palestin.
Dalam sidang media pada Rabu, Smotrich menegaskan peta kedaulatan baharu perlu memastikan “tiada negara pengganas Arab” ditubuhkan di tengah wilayah Israel.
Beliau turut menunjukkan peta cadangan wilayah haram penuh meliputi kawasan Tebing Barat, sambil menolak idea kedaulatan separa atau terhad hanya di kawasan penempatan.
“Hak kita bukan sahaja bersifat alkitabiah, sejarah dan moral, tetapi juga politik dan keselamatan. Kedaulatan ini akan menghalang musuh menubuhkan sebuah negara Palestin yang lebih besar daripada Israel, yang berpotensi meletakkan kita kembali kepada sempadan Auschwitz,” katanya.
Smotrich turut menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memanggil kabinet untuk membuat “keputusan bersejarah” bagi melaksanakan kedaulatan Israel ke atas seluruh wilayah terbuka di Judea dan Samaria, merujuk kepada istilah Israel bagi Tebing Barat.
Cadangan itu segera mendapat kecaman daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menyifatkan langkah tersebut sebagai satu garisan merah yang akan merosakkan semangat Perjanjian Abraham, iaitu perjanjian normalisasi hubungan antara kedua-dua negara.
Pegawai kanan Emiriah menegaskan, syarat utama Perjanjian Abraham 2020 ialah Israel tidak akan meneruskan rancangan rampasan haram Tebing Barat sebagai pertukaran untuk normalisasi diplomatik.
“Ini akan memusnahkan Perjanjian Abraham. Jangan benarkan Israel menganeksasi sebahagian Tebing Barat,” kata seorang pegawai Emiriah yang dipetik The Jerusalem Post.
Malah, UAE sebelum ini turut memberi amaran kepada pentadbiran Trump agar tidak membenarkan Israel melaksanakan kedaulatan ke atas wilayah Palestin.
Sebagai rujukan, Perjanjian Oslo pada 1990-an telah membahagikan Tebing Barat kepada tiga kawasan:
- Kawasan A – bandar dan pekan Palestin di bawah kawalan penuh Pihak Berkuasa Palestin.
- Kawasan B – kawalan keselamatan Israel tetapi pentadbiran sivil Palestin.
- Kawasan C – keseluruhan kawalan keselamatan dan sivil Israel, termasuk penempatan Yahudi utama.
Smotrich sebelum ini meluluskan projek pembinaan besar-besaran di Ma’aleh Adumim, termasuk di kawasan sensitif E1 dalam Kawasan C, walaupun dikritik sebagai berpotensi mencetuskan ketegangan serantau.
“Selama bertahun-tahun, kita diberitahu bahawa meluluskan penempatan akan mencetuskan kebakaran di Timur Tengah. Tetapi kita laksanakan, dan tiada apa-apa berlaku. Begitu juga yang akan berlaku dengan kedaulatan,” kata Smotrich.
Langkah terbaru ini dijangka menambahkan lagi ketegangan antara Israel, Palestin dan negara-negara Arab, selain menguji komitmen terhadap perjanjian normalisasi yang dibina sejak 2020.-The Merdeka Times