Connect with us

Antarabangsa

Netanyahu henti perjanjian gas, Tuduh Mesir langgar Perjanjian Damai Camp David

Published

on

Foto: Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
  • Walaupun laporan tidak menjelaskan bentuk pelanggaran itu, tindakan berkenaan dianggap mencerminkan krisis keyakinan yang semakin meruncing.
  • Media Ibrani turut melaporkan bahawa Netanyahu tidak akan meneruskan sebarang rundingan tenaga dengan Mesir tanpa jaminan baharu yang jelas daripada Kaherah bagi memastikan komitmen penuh terhadap perjanjian damai tersebut.

 

TEL AVIV — Perdana Menteri ‘Israel’, Benjamin Netanyahu dilapor telah mengarahkan supaya rundingan perjanjian gas dengan Mesir dihentikan sementara, susulan dakwaan bahawa Kaherah melanggar Perjanjian Damai 1979 antara kedua-dua negara.

Media berbahasa Ibrani melaporkan, keputusan mengejut itu hanya boleh diteruskan semula dengan kelulusan peribadi dan muktamad Netanyahu, selepas beliau mengaitkan rundingan tersebut dengan syarat politik dan keselamatan tertentu yang berhubung langsung dengan perjanjian damai bersejarah itu.

Menurut sumber politik yang dipetik media Ibrani, Netanyahu menggantung perjanjian gas tersebut berikutan dakwaan Mesir gagal mematuhi komitmen dalam perjanjian damai.

Walaupun laporan tidak menjelaskan bentuk pelanggaran itu, tindakan berkenaan dianggap mencerminkan krisis keyakinan yang semakin meruncing.

Jika dakwaan itu disahkan, ia bakal menjadi eskalasi serius dalam hubungan yang selama ini kekal stabil sejak termeterainya Perjanjian Damai Camp David pada 1979.

Untuk rekod, Camp David 1978 dilihat sebagai proses pendahulu yang membuka jalan ke arah normalisasi hubungan, manakala Perjanjian Damai 1979 merupakan dokumen perundangan rasmi yang meneguhkan keamanan antara Mesir dan Israel.

Media Ibrani turut melaporkan bahawa Netanyahu tidak akan meneruskan sebarang rundingan tenaga dengan Mesir tanpa jaminan baharu yang jelas daripada Kaherah bagi memastikan komitmen penuh terhadap perjanjian damai tersebut.

Tuntutan ini dilihat sebagai langkah Netanyahu menggunakan isu strategik gas sebagai alat tawar-menawar politik dan keselamatan, sekali gus membuka jalan kepada rundingan yang lebih kompleks antara kedua-dua negara dalam tempoh mendatang.

Hubungan diplomatik Mesir -Israel sebelum ini dianggap stabil dan berkepentingan strategik, namun perkembangan terbaharu ini dijangka meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author