Antarabangsa
Israel hadapi krisis pasukan simpanan tentera enggan ke Gaza
- Menurut Wall Street Journal, pihak tentera sedang berusaha untuk mengerahkan 60,000 anggota simpanan menggunakan “kaedah luarbiasa” untuk operasi baharu mereka di Bandar Gaza.
- Seorang komander dilapor menghantar mesej dalam grup WhatsApp mahasiswa untuk mencari askar tempur.
- Seorang sarjan utama yang telah berkhidmat selama 400 hari sejak 7 Oktober dilaporkan berkata bahawa beliau percaya “anggota tentera mati dengan sia-sia” dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melanjutkan perang untuk kelangsungan politiknya sendiri.
Laporan media antarabangsa menyatakan bahawa tentera Israel sedang bergelut untuk mendapatkan bilangan anggota simpanan yang mencukupi bagi operasi ketenteraannya di Gaza, dengan ramai yang mempersoalkan tujuan operasi tersebut.
Menurut Wall Street Journal, pihak tentera sedang berusaha untuk mengerahkan 60,000 anggota simpanan menggunakan “kaedah luarbiasa” untuk operasi baharu mereka di Bandar Gaza.
Sebagai contoh, seorang komander dilaporkan menghantar mesej dalam grup WhatsApp mahasiswa untuk mencari askar tempur, terutamanya pasukan perubatan dan penembak hendap untuk suatu operasi selama 70 hari.
Kekurangan ini dikaitkan dengan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Israel sendiri. Sebanyak 80 peratus penduduk dilaporkan mahu kerajaan menerima tawaran gencatan senjata.
Seorang sarjan utama yang telah berkhidmat selama 400 hari sejak 7 Oktober dilaporkan berkata bahawa beliau percaya “anggota tentera mati dengan sia-sia” dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu melanjutkan perang untuk kelangsungan politiknya sendiri.
Laporan itu juga menyatakan aduan daripada keluarga anggota simpanan tentang kesan psikologi dan kewangan yang teruk akibat perkhidmatan yang berpanjangan, termasuk kehilangan pekerjaan dan perceraian.
Tambahnya, sekumpulan anggota simpanan enggan kembali bertugas dengan mendakwa terdapat “tingkah laku tidak bermoral” dalam operasi, termasuk satu insiden dimana askar zionis dilaporkan menembak tiga wanita Palestin.
Sejak 7 Oktober 2023, operasi Israel di Gaza telah mengakibatkan kematian lebih 63,500 rakyat Palestin dan kecederaan lebih 160,000 orang.-The Merdeka Times