Antarabangsa
(VIDEO) Sikap Rohingya penyebab orang Malaysia serik nak bantu
KUALA LUMPUR — Sikap pilih bulu dilihat antara faktor menyebabkan pelarian Rohingya seolah-olah tidak diingini atau tidak dibantu oleh sesetengah negara, hingga ada antara mereka yang kehilangan nyawa di laut.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Mohd Hasan menegaskan sikap atau mindset sedemikian perlu diubah, kerana apabila memberi bantuan ia harus diberikan tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama dan sebagainya.
Sebegitu jugalah, katanya, doktor Muslim memberikan rawatan atau bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka.
“Kita perlu mengubah mindset kita apabila memberi bantuan, kita seharusnya membantu melampaui batasan bangsa, warna kulit dan segala-galanya,” katanya dalam episod terbaru podcast Garis Krisis yang disiarkan di YouTube The Merdeka Times.
Bagaimanapun, menurut beliau, yang menjadikan keadaan lebih sukar adalah sikap komuniti Rohingya itu sendiri apabila sudah dibantu kadang-kala menimbulkan masalah pula, sekali gus menyebabkan masyarakat Malaysia serik untuk memberikan bantuan.
Sehubungan itu, Dr Fauziah menekankan kepentingan pendidikan bagi komuniti Rohingya, terutama buat generasi muda memandangkan kelompok tua mungkin sudah sukar untuk diubah.
Kelompok itu juga, katanya, ada yang pandai membaca Al-Quran namun hanya sekadar membaca tanpa memahami inti patinya, manakala segelintir remaja sudah berkahwin pada usia antara 13 hingga 14 tahun.
“Macam MyCARE ada tiga sekolah untuk Rohingya, kita kena mendidik yang muda-muda ini, supaya apabila mereka berpendidikan, mereka akan membawa perubahan ke dalam komuniti mereka.
“Dan apabila mereka terdidik, kadar jenayah juga akan turun, jadi sebenarnya kalau kita tidak mahu mendidik mereka ini, kita pula akan marah mereka pergi merompak atau sebagainya,” katanya.
Hakikatnya dalam isu pelarian Rohingya ini, menurut beliau adalah menjadi tanggungjawab pihak yang membantu untuk mendidik mereka supaya memahami, menjadi beradab, dan mempunyai tingkah laku yang sopan. — The Merdeka Times