Connect with us

Terkini

(VIDEO) Bendera terbalik: Peguam cadang undang-undang diketatkan, Pelaku perlu buktikan tiada niat

Published

on

Foto: Peguam, Tai Zee How

KUALA LUMPUR — Seorang peguam mencadangkan agar undang-undang berkaitan isu bendera, khususnya kes dipasang terbalik, diperketatkan dengan menggunakan prinsip strict liability (liabiliti ketat), supaya undang-undang boleh membuat andaian bahawa pelaku berniat melakukannya, melainkan dia dapat membuktikan sebaliknya.

Tai Zee How yang lebih dikenali sebagai Apek Cina berkata, dengan itu sekiranya selepas ini terdapat Jalur Gemilang dipasang terbalik atau dinaikkan secara tidak betul, undang-undang boleh menganggap pelaku berniat tertentu, dan tertuduh pula perlu membuktikan sebaliknya.

Jelasnya, cadangan itu merujuk kepada prinsip strict liability yang digunapakai dalam undang-undang pengedaran dadah, khususnya di bawah Seksyen 37 (d) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952).

Dalam kes tersebut, seseorang yang didapati mempunyai kawalan terhadap dadah boleh dianggap berniat untuk mengedarnya, sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Ini kita kata strict liability, maksudnya pendakwaan tidak perlu membuktikan niat untuk dia (tertuduh) mengedar. Kita boleh pakai dalam isu ini (bendera terbalik),” katanya.

Menurut Zee How,  sebelum ini pendekatan sebegitu tidak digunakan kerana belum ada kes berulang, tetapi kini beberapa insiden sama telah pun berlaku.

So sekarang dah tahu dah benda seperti ini boleh mencetuskan kemarahan ramai, majoriti rakyat Malaysia tidak boleh menerima hakikatnya Jalur Gemilang dihina sebegitu sama ada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja, maka kita perlu ketatkan undang undang,” katanya ketika menjadi panel dalam episod terbaru Program Analisis Bersama Finaz Yunus yang disiarkan di Youtube The Merdeka Times.

Turut menjadi panel adalah Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong dan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

Pada 9 Ogos lalu, tular satu video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang yang didakwa sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mencetuskan kecaman warganet.

Video di Pulau Pinang itu tular hanya beberapa hari selepas isu sama berlaku membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson yang dilaporkan telah memohon maaf secara terbuka berikutan insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik di premis sekolah berkenaan pada 1 Ogos lalu, yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.

Sementara itu, Zee How menegaskan bahawa hukuman yang berat perlu digubal oleh wakil rakyat, sekiranya negara ini ingin menghentikan perbuatan tidak hormat kepada Jalur Gemilang sama ada ia berniat atau tidak. — The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author