Connect with us

Terkini

Rafidah Ibrahim fail rayuan selepas permohonan injunksi henti perobohan di Kg Sungai Baru ditolak

Published

on

Foto: Penduduk asal Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Rafidah Ibrahim
  • Rafidah menjelaskan bahawa rayuan itu difailkan kerana peguam mereka sebelum ini tidak mengemukakan bukti bahawa pihak pemaju telah mengingkari perintah untuk menghentikan kerja-kerja perobohan selama tujuh hari, walaupun tempoh penangguhan tersebut telah dibenarkan.
  • “Maksudnya pemaju tidak pun mengikut penangguhan yang diminta oleh penduduk, tapi pemaju claim ada kerugian dalam penangguhan,” katanya mengulas dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini mengatakan beliau telah kalah di mahkamah dan perlu membayar ganti rugi lebih setengah juta kepada pemaju.

KUALA LUMPUR — Penduduk asal Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Rafidah Ibrahim, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan yang memerintahkan beliau bersama dua lagi bekas pemilik membayar ganti rugi melebihi setengah juta ringgit kepada pihak pemaju, selepas permohonan perintah injunksi untuk menghentikan kerja-kerja perobohan ditolak mahkamah.

Bercakap kepada The Merdeka Times hari ini, Rafidah menjelaskan bahawa rayuan itu difailkan kerana peguam mereka sebelum ini tidak mengemukakan bukti bahawa pihak pemaju telah mengingkari perintah untuk menghentikan kerja-kerja perobohan selama tujuh hari, walaupun tempoh penangguhan tersebut telah dibenarkan.

“Ketika tujuh hari penangguhan ini pemaju masih teruskan perobohan seperti biasa.

“Maksudnya pemaju tidak pun mengikut penangguhan yang diminta oleh penduduk, tetapi pemaju claim ada kerugian akibat penangguhan tersebut,” katanya mengulas dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini mengatakan beliau telah kalah di mahkamah dan perlu membayar ganti rugi lebih setengah juta kepada pemaju.

Foto: Tangkap layar ciapan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Rafidah mengakui keputusan mahkamah ketika ini memihak kepada pemaju, namun menegaskan ia tidak menjejaskan perjuangan penduduk yang masih belum berpindah atau kekal membantah projek pembangunan semula kampung tersebut.

“Flat memang sudah dirobohkan, tapi rumah teres masih ada. Pada 28 Julai lepas, mahkamah menolak permohonan Peguam Negara untuk membatalkan writ saman kami kepada Pejabat Tanah (berhubung isu Kampung Sungai Baru).

“Ini bermakna kes kami wajar dibicarakan.. Kami mungkin kalah sekarang, tunggu sehingga hari kes kami berjaya dibicarakan,” katanya.

Untuk rekod, injunksi adalah satu jenis perintah mahkamah yang mengarahkan seseorang untuk melakukan atau menghentikan sesuatu tindakan tertentu. Dalam konteks undang-undang, injunksi berfungsi sebagai alat untuk mencegah kerosakan atau pelanggaran hak sebelum ia berlaku, atau untuk memulihkan keadaan yang telah terjejas.

Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru timbul apabila kawasan perkampungan yang terletak di tengah ibu kota itu dicadangkan untuk dibangunkan semula oleh pihak pemaju.

Cadangan itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk, termasuk wujud ketidaksepakatan dalam kalangan penduduk, pertikaian pampasan dan isu perundangan.

Penduduk Kampung Sungai Baru juga sebelum ini telah mengadakan perarakan dari Masjid Jamek ke pejabat Suhakam menuntut campur tangan kerajaan untuk menghentikan pengambilalihan tanah mereka yang didakwa berlaku secara paksa dan tidak berperlembagaan, serta menuntut siasatan rasmi terhadap isu tersebut. — The Merdeka Times





Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author