Connect with us

Terkini

Kes kematian PALAPES UTM: Banyak percanggahan kenyataan, termasuk tanda seperti dicekik – ADUN Dusun Tua

Published

on

Foto: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz
  • Pihak berwajib, termasuk PDRM, Kementerian Pertahanan, KPT dan KKM didesak mengambil tindakan tegas, telus dan segera dalam menyiasat kematian seorang pegawai kadet ketika menjalani latihan PALAPES UTM pada 28 Julai lalu.
  • Desakan itu disuarakan Datuk Wira Johan Abd Aziz, selepas menerima penjelasan keluarga, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin serta kronologi yang diperoleh, yang didapati mengandungi banyak percanggahan kenyataan, kelemahan pengurusan, dan keganjilan dalam proses siasatan awal serta pengurusan jenazah.
  • Antaranya terdapat dua versi punca kematian iaitu satu mendakwa akibat dipukul, satu lagi mendakwa akibat sawan, serta keadaan jenazah yang mencurigakan – kesan lebam, tanda seperti dicekik, dan pendarahan berterusan dari hidung, telinga dan leher walaupun selepas 24 jam kematian.
  • Wira Johan berkata ibu Allahyarham, Ummu Haiman ketika ditemuinya sebelum ini turut bersetuju supaya kubur arwah anaknya digali semula sekiranya perlu, demi mencari kebenaran punca kematian pemuda berusia 22 tahun itu.

KUALA LUMPUR — Pihak berwajib, termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia didesak mengambil tindakan tegas, telus dan segera dalam menyiasat kematian seorang pegawai kadet ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 28 Julai lalu.

Desakan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz, selepas menerima penjelasan keluarga, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin serta kronologi yang diperoleh, yang didapati mengandungi banyak percanggahan kenyataan, kelemahan pengurusan, dan keganjilan dalam proses siasatan awal serta pengurusan jenazah.

Antara dakwaan yang timbul menurut beliau adalah;

  • Terdapat dua versi punca kematian iaitu satu mendakwa akibat dipukul, manakala satu lagi mendakwa akibat sawan.
  • Keadaan jenazah yang mencurigakan – kesan lebam, tanda seperti dicekik, dan pendarahan berterusan dari hidung, telinga dan leher walaupun selepas 24 jam kematian.
  • Kegagalan pihak hospital memastikan bedah siasat dilakukan oleh Pakar Forensik bagi kes berprofil tinggi, sebaliknya dilakukan oleh dua pegawai perubatan biasa (Medical Officer).
  • Sekatan terhadap waris – tidak dibenarkan menyaksikan proses bedah siasat atau memandikan jenazah, serta tidak dapat bertanya kepada rakan pelatih arwah tentang insiden sebenar.
  • Sikap pihak berkuasa tempatan – laporan polis pada awalnya enggan diterima, dan terdapat penjelasan yang bercanggah daripada pegawai-pegawai PALAPES.

Wira Johan berkata dalam isu berkenaan ibu Allahyarham, Ummu Haiman ketika ditemuinya sebelum ini turut bersetuju supaya kubur arwah anaknya digali semula sekiranya perlu, demi mencari kebenaran punca kematian pemuda berusia 22 tahun itu.

ADUN Dusun Tua itu juga memberi amaran sekiranya tiada tindakan konkrit diambil, beliau berserta peguam dan ahli keluarga akan membawa perkara tersebut kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) agar keadilan dapat ditegakkan.

“Kita baru sahaja dikejutkan dengan kes kematian mencurigakan adik Zara Qairina di Sabah yang masih segar dalam ingatan rakyat.

“Kini, kita berdepan satu lagi insiden yang menimbulkan tanda tanya besar. Dua nyawa muda telah pergi dalam keadaan penuh misteri. Persoalannya – berapa ramai lagi anak bangsa kita harus menjadi mangsa?,” soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu.

Tegasnya lagi, kes tersebut bukan sekadar tragedi kematian biasa, tetapi ia adalah ujian kepada integriti institusi dan sistem penyiasatan negara.

“Kita tidak akan berdiam diri sehingga kebenaran didedahkan dan pihak yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Foto: Kenyataan media Datuk Wira Johan Abd Aziz yang disiarkan di Facebook.

Pada 1 Ogos lalu, Ummu Haiman dilapor merayu agar siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya yang meninggal dunia selepas menyertai latihan PALAPES UTM di Johor, baru-baru ini.

Ibu tunggal itu mendakwa kematian anaknya, Syamsul Haris menimbulkan pelbagai persoalan berikutan keadaan fizikal mangsa yang dilihat tidak sepadan dengan alasan awal yang diterima iaitu akibat sawan.

Pada hari sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata hasil bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah pada tubuh mangsa dan pihaknya masih menunggu keputusan makmal untuk punca kematian.

UTM dalam kenyataan berasingan menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Syamsul Haris dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta sedia memberikan kerjasama penuh.

Sehari kemudian, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilapor menubuhkan jawatankuasa, yang turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri bagi menyiasat kematian Syamsul Haris. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author