Terkini
Zayn Rayyan: Ibu diperintah bela diri, bapa dilepas dan dibebaskan
- Hakim Dr. Syahliza Warnoh dilapor memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan dikemukakan ke atas Ismanira.
- Bapa kepada Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, dilepas dan dibebaskan selepas pendakwaan gagal membuktikan elemen pengabaian.
- Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
KUALA LUMPUR – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dua tahun lalu.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh dilapor memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan dikemukakan ke atas Ismanira.
Sementara itu, seorang lagi tertuduh yang juga bapa kepada Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, dilepas dan dibebaskan selepas pendakwaan gagal membuktikan elemen pengabaian.
Ismanira dilihat menangis dan berpelukan dengan ahli keluarga dalam kamar mahkamah sejurus keputusan dibuat Syahliza.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — The Merdeka Times