Antarabangsa
(VIDEO)Komuniti Druze Syria kibarkan bendera Israel di Sweida, ketegangan semakin memuncak
- Insiden ini berlaku di tengah-tengah pertempuran yang berterusan antara pasukan keselamatan yang setia kepada kerajaan Syria dan penduduk Druze tempatan di wilayah tersebut.
- Tentera Israel (IDF) dan pasukan polis turut dikerahkan untuk menghalang sekumpulan rakyat Israel berketurunan Druze daripada melintasi sempadan ke Syria.
- Mereka dipercayai cuba masuk ke negara itu secara beramai-ramai bagi menyokong komuniti Druze di Sweida.
SWEIDA – Ketegangan di wilayah Sweida, Selatan Syria, semakin memuncak selepas rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penduduk komuniti Druze Syria mengibarkan bendera Israel dari atas bumbung sebuah bangunan.
Rakaman tersebut telah dikongsikan secara meluas oleh media sosial serta turut disiarkan semula oleh media Israel termasuk penyiar awam, KAN News.
Dalam rakaman lain yang turut tersebar, penduduk Sweida dilihat menurunkan bendera Syria sebagai simbol penentangan terhadap kerajaan yang berpangkalan di Damsyik.
Insiden ini berlaku di tengah-tengah pertempuran yang berterusan antara pasukan keselamatan yang setia kepada kerajaan Syria dan penduduk Druze tempatan di wilayah tersebut.
Ketegangan yang telah berlarutan selama beberapa hari itu mencapai tahap baru apabila tentera Israel mula melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Syria pada Isnin lalu.
Pada Rabu, konflik dilaporkan semakin meruncing apabila Tentera Udara Israel (IAF) melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu kota Syria, Damsyik.
Sasaran serangan termasuk ibu pejabat tentera dan juga Istana Presiden, menurut laporan yang diterbitkan oleh The Jerusalem Post.
Sementara itu, tentera Israel (IDF) dan pasukan polis turut dikerahkan untuk menghalang sekumpulan rakyat Israel berketurunan Druze daripada melintasi sempadan ke Syria.
Mereka dipercayai cuba masuk ke negara itu secara beramai-ramai bagi menyokong komuniti Druze di Sweida.
Pemerintahan interim Syria, yang dipimpin oleh Ahmed al-Sharaa sejak Januari 2025, masih bergelut untuk menstabilkan negara selepas penggulingan Assad, dan kini berdepan cabaran besar menangani perpecahan etnik, pemberontakan bersenjata, dan campur tangan kuasa luar. -The Merdeka Times