Terkini
(VIDEO) Kg Sungai Baru: Terima tiga unit kondo untuk satu rumah teres, antara faktor penduduk setuju pindah
KUALA LUMPUR — Tawaran daripada pemaju yang disifatkan sebagai di luar jangkauan penduduk Kampung Sungai Baru antara faktor utama mendorong mereka bersetuju menandatangani perjanjian usahasama dan berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan tersebut.
Dalam wawancara bersama The Merdeka Times hari ini, Ketua Komuniti Madani Kampong Bharu, Nur Dzulafian Idris berkata antara tawaran yang diberikan ialah satu rumah teres akan digantikan dengan tiga unit kondominium baharu.
Bilangan unit kondominium itu juga katanya adalah bergantung kepada saiz rumah penduduk memandangkan ada rumah teres yang sudah diubah suai atau extension.
Berkongsikan pengalamannya bersama keluarga yang turut menandatangani perjanjian usahasama (Joint Venture Agreement) itu, beliau memaklumkan bahawa mereka turut menerima satu bayaran berjumlah RM15,000, iaitu masing-masing RM5,000 semasa menandatangani perjanjian, RM5,000 untuk urusan pemindahan keluar, dan RM5,000 lagi bagi kos kemasukan ke unit gantian kelak.
“Jadi mak-mak kita ni bila dengar RM15,000… adik-beradik dengar pun rasa banyak jadi mereka pun, ‘why not sign?’ macam itulah. Dapat rumah tiga unit kondo untuk ganti satu rumah teres.
“Bagi flat pula dapat satu unit kondo yang mana saiznya double (daripada unit sebelum ini).
“Katakanlah rumah mereka sekarang 600 kaki persegi mereka akan dapat 1,200 tengok pada saiz yang paling besar lah, jadi kat situ lah yang membuat ramai orang bersetuju untuk sign,” katanya yang turut menyatakan bahawa kekangan ekonomi juga mendorong kepada keputusan itu.
Ditanya sama ada unit kondominium ditawarkan dilihat setimpal dengan nilai tanah yang terletak di tengah-tengah ibu kota, Dzulafian menjelaskan bahawa pihak pemaju sebelum ini memaklumkan setiap unit kondominium baharu itu dianggarkan bernilai sekitar RM850,000 sebaik sahaja siap kelak.
Menurutnya, angka itu antara faktor yang membuatkan ramai penduduk terpesona dan bersetuju dengan tawaran tersebut, apatah lagi rumah teres lama yang mereka diami dikatakan hanya mampu dijual pada harga sekitar RM 1 juta.
“Jadi kalau lah anda sendiri ditawarkan dengan RM850 ribu kali tiga, dekat 2 juta lebih kan jadi bila kita pandang balik, ‘betul’ (ia berbaloi).
“Mana rumah teres kita ini pun nak jual pun tak boleh sampai 2 juta pun (ia) rumah teres lama,” ujarnya yang melihat pembangunan semula kawasan itu akan dapat membantu meningkatkan taraf hidup penduduk.
Namun begitu, beliau menyatakan bahawa sehingga kini, tiada sebarang jaminan, termasuk dari segi tempoh masa diberikan oleh pihak pemaju bahawa projek tersebut benar-benar akan dilaksanakan dan disiapkan.
Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan, apatah lagi menurut beliau, nama dalam geran milik tanah kini telah pun ditukar kepada pihak pemaju.
Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru timbul apabila kawasan perkampungan yang terletak di tengah ibu kota itu dicadangkan untuk dibangunkan semula oleh pihak pemaju.
Cadangan itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk, dengan sebahagiannya menyatakan sokongan, manakala pada masa sama wujud juga kumpulan yang membantah.— The Merdeka Times