Antarabangsa
Skandal seks gegar institusi sami Thailand: 9 sami senior dipecat
- Polis memaklumkan siasatan terhadap kehilangan sami Buddha membawa kepada penahanan seorang wanita, yang didakwa menjalinkan hubungan intim dengan beberapa sami senior sebelum memeras ugut mereka.
- Polis turut menemui telefon bimbit yang mengandungi puluhan ribu gambar dan video tidak senonoh serta perbualan yang dikaitkan dengan beberapa tokoh agama Buddha.
- Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn mengeluarkan titah membatalkan anugerah gelaran keagamaan kepada puluhan sami kanan.
BANGKOK — Skandal seks melibatkan seorang sami ternama Thailand mencetuskan kejutan besar di negara majoriti Buddha itu, selepas siasatan kehilangan seorang sami senior mendedahkan kegiatan peras ugut, hadiah mewah dan penyalahgunaan dana kuil melibatkan beberapa sami berprofil tinggi.
Polis memaklumkan bahawa siasatan terhadap kehilangan Phra Thep Wachirapamok membawa kepada penahanan seorang wanita, Wilawan Emsawat, yang didakwa menjalinkan hubungan intim dengan beberapa sami senior sebelum memeras ugut mereka.
Polis turut menemui telefon bimbit yang mengandungi puluhan ribu gambar dan video tidak senonoh serta perbualan yang dikaitkan dengan beberapa tokoh agama Buddha.
Wilawan ditahan minggu ini dan didakwa atas kesalahan memeras ugut, pengubahan wang haram serta menerima barang curi.
Polis berkata, siasatan kewangan mendapati beliau menerima lebih 385 juta baht dalam tempoh tiga tahun, sebahagian daripadanya dipercayai datang daripada sami dan dana kuil.
Antara hadiah mewah yang diterimanya termasuk sebuah Mercedes-Benz SLK200 dan kad bank peribadi.
Dalam temu bual bersama media Thailand, Wilawan mengaku pernah bercinta dengan dua sami dan seorang profesor agama, dan mengaku merasa bersalah kerana “jatuh cinta” kepada mereka.
Namun, pendedahan itu menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan sami dan ketua kuil dipecat atau dilucutkan gelaran, termasuk seorang yang mengaku menggunakan dana kuil untuk membantu Wilawan dalam urusan perniagaan.
Sebagai respons, Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn mengeluarkan titah membatalkan anugerah gelaran keagamaan kepada puluhan sami kanan.
Perdana Menteri sementara, Phumtham Wechayachai, turut mengarahkan kajian semula undang-undang berkaitan pengurusan kewangan kuil, manakala Pejabat Kebangsaan Buddhisme mencadangkan penggubalan semula undang-undang untuk mendakwa sesiapa yang merosakkan reputasi agama, termasuk melalui salah laku seksual.
Polis Thailand kini melancarkan siasatan di seluruh negara dan telah membuka laman Facebook rasmi untuk orang awam melaporkan salah laku sami.- The Merdeka Times