Terkini
SIS gugur perkataan Islam dari nama NGO
- Keputusan itu menurut Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lalu, dan kini pertubuhan itu akan menggunakan nama berdaftarnya, SIS Forum (Malaysia).
- Rozana berharap keputusan itu akan menamatkan pertikaian yang telah lama berlarutan berkaitan nama kumpulan itu dan membolehkannya terus bekerjasama ‘dengan semua pihak secara berhemah’.
- Sebelum ini, Sultan Selangor dilapor menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu.
- Sehubungan itu, Sultan Selangor menggesa SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.
KUALA LUMPUR — Kumpulan hak wanita, Sisters in Islam (SIS) telah menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama yang digunakan secara umum susulan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jun lalu.
Keputusan itu menurut Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lalu, dan kini pertubuhan itu akan menggunakan nama berdaftarnya, SIS Forum (Malaysia).
Rozana juga berharap keputusan itu akan menamatkan pertikaian yang telah lama berlarutan berkaitan nama kumpulan itu dan membolehkannya terus bekerjasama ‘dengan semua pihak secara berhemah’.
“Walaupun kami menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama pena kami, kami tetap teguh dalam komitmen memperjuangkan kesaksamaan jantina dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.
“Akhirnya, yang paling penting adalah usaha kami untuk wanita Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Sebelum ini, Sultan Selangor dilapor menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu.
Sehubungan itu, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.
Gesaan sama turut disuarakan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA Malaysia) yang meminta perkataan “Islam” digugurkan daripada nama pertubuhan atau syarikat Sisters in Islam (SIS) kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat awam. — The Merdeka Times