Connect with us

Terkini

Serbuan parti gay jumpa ubat HIV, WAFIQ gesa henti ‘taja’ gaya hidup songsang

Published

on

Foto: Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar

 

  • Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar merujuk kepada laporan media berhubung serbuan ke atas sebuah parti gay yang melibatkan lebih 100 peserta bersama kondom dan ubat berkaitan HIV, termasuk kemungkinan ubat kategori HAART (Highly Active Antiretroviral Therapy), PEP (Post Exposure Prophylaxis) dan PrEP.
  • “Dasar kerajaan memberi PrEP percuma tanpa bersasar, termasuk kepada mereka yang memohon secara ‘on-demand’ bagi menghadiri parti gay, harus dikaji semula. Rakyat yang mematuhi undang-undang dan ajaran agama tidak sepatutnya membayar harga atas perlakuan yang jelas bertentangan dengan nilai masyarakat,” tegas beliau.

 

PUTRAJAYA – Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan bahawa pemberian ubat pencegahan HIV, PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) secara percuma oleh kerajaan kepada golongan homoseksual dan biseksual tanpa mempertimbangkan konteks agama dan fatwa adalah tidak wajar serta memberi isyarat bahawa masyarakat turut “menaja” perlakuan songsang.

Beliau merujuk kepada laporan media berhubung serbuan ke atas sebuah parti gay yang melibatkan lebih 100 peserta bersama kondom dan ubat berkaitan HIV, termasuk kemungkinan ubat kategori HAART (Highly Active Antiretroviral Therapy), PEP (Post Exposure Prophylaxis) dan PrEP.

Perkara ini, katanya, seharusnya membuka mata pihak berkuasa terhadap perlunya dasar kesihatan awam yang lebih bersasar, bukan bersifat menggalakkan tingkah laku berisiko tinggi.

“Pemberian PrEP percuma oleh kerajaan kepada golongan sebegini tanpa melihat konteks agama dan fatwa yang menasihati agar PrEP diberi secara bersasar, memberi konteks bahawa masyarakat seolah-olah turut menaja perlakuan songsang ini,” tegas beliau sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Menurut Dr. Rafidah, dalam dasar kesihatan awam, insentif kesihatan digunakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat seperti kemudahan akses kepada insurans bagi mereka yang tidak merokok. Manakala dis-insentif digunakan untuk mengurangkan tabiat buruk, contohnya denda bagi perokok di tempat awam.

Pemberian PrEP percuma, menurut beliau, telah menghapuskan unsur dis-insentif tersebut.

“Wang cukai rakyat bukan sahaja digunakan untuk membeli ubat PrEP, tetapi juga bagi menampung kos ujian darah, masa dan tenaga doktor dalam menguruskan individu yang terlibat dalam perlakuan homoseksualiti dan biseksualiti,” katanya.

Beliau turut membandingkan pendekatan Malaysia dengan Singapura yang tidak menyediakan PrEP secara percuma, walaupun mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih tinggi.

Di negara tersebut, PrEP hanya boleh diperoleh melalui klinik tertentu dan Pusat Kulit Nasional dengan harga sekitar SGD400 sebulan bagi ubat jenama Truvada. Walaupun terdapat versi generik yang lebih murah, pengamal gaya hidup berisiko tetap perlu membelinya sendiri.

“Mengapa Malaysia tidak mencontohi Singapura dalam kaedah dis-insentif ini agar masyarakat turut dididik untuk bertanggungjawab terhadap pilihan gaya hidup mereka?” soal beliau sambil menegaskan bahawa sumber kesihatan negara lebih baik digunakan untuk penyakit yang tidak berpunca daripada gaya hidup seperti penyakit jantung berlubang atau kongenital.

Walaupun kerajaan berhujah bahawa kos mencegah HIV melalui PrEP lebih murah berbanding kos rawatan, Dr. Rafidah percaya pendekatan mendidik masyarakat secara dis-insentif adalah lebih berkesan dan selari dengan undang-undang serta fatwa sedia ada yang melarang homoseksualiti.

“Dasar kerajaan memberi PrEP percuma tanpa bersasar, termasuk kepada mereka yang memohon secara ‘on-demand’ bagi menghadiri parti gay, harus dikaji semula.

“Rakyat yang mematuhi undang-undang dan ajaran agama tidak sepatutnya membayar harga atas perlakuan yang jelas bertentangan dengan nilai masyarakat,” tegas beliau. -The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author