Terkini
RCI Batu Puteh: ‘Saya tidak perlu imuniti’ – Dr Mahathir
- Bekas Perdana Menteri berusia 100 tahun itu berkata imuniti hanyalah untuk individu yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah.
- “Dia (Anwar Ibrahim) kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti.
- “Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya.
- Dr Mahathir menyifatkan Anwar Ibrahim seolah-olah bertindak sebagai pendakwa raya dan hakim apabila menjatuhkan hukuman bersalah terhadapnya di Dewan Rakyat berhubung kes tidak membuat rayuan untuk Pulau Batu Putih.
KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan sebarang imuniti, malah mencabar agar beliau dihadapkan ke mahkamah jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat ada kesalahan dilakukannya dalam isu Pulau Batu Puteh.
Bekas Perdana Menteri berusia 100 tahun itu berkata imuniti hanyalah untuk individu yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah.
Namun, tegasnya beliau tidak melakukan kesalahan dalam isu Pulau Batu Puteh dan ingin membuktikannya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada Selasa, kerajaan dilapor mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Dr Mahathir berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dibangkitkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), atas pertimbangan faktor usia.
Anwar Ibrahim berkata walaupun beliau percaya kesalahan itu wujud dan besar, keputusan Jemaah Menteri adalah untuk tidak mengambil tindakan lanjut memandangkan bekas Perdana Menteri tersebut kini sudah berusia 100 tahun.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu mengapa RCI Pulau Batu Puteh ditarik balik.
Mengulas perkara itu, Dr Mahathir menyifatkan Anwar Ibrahim seolah-olah bertindak sebagai pendakwa raya dan hakim apabila menjatuhkan hukuman bersalah terhadapnya di Dewan Rakyat berhubung kes tidak membuat rayuan untuk Pulau Batu Putih.
“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar… Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar.