Antarabangsa
Ratu Victoria: Raja Dadah paling berkuasa dalam sejarah?
- Di sebalik imej seorang ratu konservatif dan berhemah, beliau sebenarnya mengendalikan empayar dadah yang memberi pulangan luar biasa kepada empayar British dan membentuk semula landskap ekonomi dunia.
- Ketika menaiki takhta pada usia 18 tahun pada 1837, Ratu Victoria bukan sahaja pengguna aktif pelbagai jenis ubat moden ketika itu, malah secara tidak langsung menjadi arkitek kepada penyebaran dadah opium secara besar-besaran ke China.
- Antara bahan kegemarannya termasuk laudanum (campuran opium dan alkohol), kokain dalam bentuk getah kunyah dan wain, serta ganja cecair dan kloroform untuk menahan kesakitan haid dan melahirkan anak.
Siapa sangka tokoh paling berpengaruh dalam sejarah perdagangan dadah global bukanlah Pablo Escobar mahupun El Chapo, tetapi seorang ratu muda dari abad ke-19 iaitu Ratu Victoria.
Di sebalik imej seorang ratu konservatif dan berhemah, beliau sebenarnya mengendalikan empayar dadah yang memberi pulangan luar biasa kepada empayar British dan membentuk semula landskap ekonomi dunia.
Ketika menaiki takhta pada usia 18 tahun pada 1837, Ratu Victoria bukan sahaja pengguna aktif pelbagai jenis ubat moden ketika itu, malah secara tidak langsung menjadi arkitek kepada penyebaran dadah opium secara besar-besaran ke China.
Antara bahan kegemarannya termasuk laudanum (campuran opium dan alkohol), kokain dalam bentuk getah kunyah dan wain, serta ganja cecair dan kloroform untuk menahan kesakitan haid dan melahirkan anak.
Namun, kisah yang paling mengejutkan ialah peranan Ratu Victoria dalam Perang Candu Pertama.
Ketika rakyat Britain ketagih teh China, kerajaan British terpaksa mencari produk yang boleh ditukar ganti untuk mengurangkan defisit perdagangan.
Solusinya adalah opium yang dihasilkan secara besar-besaran di India di bawah kawalan Syarikat Hindia Timur.
Penggunaan opium yang tinggi di China membuka ruang kepada keuntungan besar. Penjualan dadah ini menyumbang antara 15 hingga 20 peratus daripada hasil tahunan empayar British.
Apabila utusan China, Lin Zexu, cuba menghentikan kemasukan opium dan memusnahkan sebanyak 2.5 juta paun dadah British di Laut China Selatan, tindak balas empayar British amat keras.
Ratu Victoria yang ketika itu baru berusia 20 tahun mengisytiharkan perang terhadap China.
Ini mencetuskan Perang Candu Pertama (1839–1842) yang menyaksikan kekalahan besar pihak China, kehilangan wilayah Hong Kong, pembukaan pelabuhan kepada perdagangan British, dan kekebalan undang-undang untuk warga Britain di China.
Kekalahan ini menjadi titik permulaan kepada apa yang disebut sebagai “abad kehinaan” bagi China.
Ia bukan sahaja menjatuhkan imej empayar China yang agung, malah membuktikan betapa kejam dan oportunisnya kuasa kolonial dalam mempertahankan keuntungan walaupun melalui pemerdagangan dadah.
Ironinya, Ratu Victoria yang tidak kisah menjual opium secara besar-besaran kepada China tetap enggan menjual kokain, kerana beliau percaya ia selamat dan berkhasiat.
Beliau menyimpan dadah tersebut untuk kegunaan sendiri, mencerminkan hipokrasi seorang pemerintah yang membezakan nilai nyawa berdasarkan manfaat kepada empayarnya.
Hari ini, ramai sejarawan mula menilai semula warisan Ratu Victoria bukan sahaja sebagai pemerintah berpengaruh, tetapi juga antara tokoh utama yang menyumbang kepada krisis dadah global melalui peranan negara dalam memperdagangkan bahan yang merosakkan berjuta-juta nyawa menjadikannya, secara tidak rasmi, ‘raja dadah’ paling berjaya dalam sejarah moden.-The Merdeka Times