Terkini
Kematian Zara Qairina: Jangan buat spekulasi, Polis sedang siasat – Fadhlina Sidek
- Masyarakat diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh mengganggu siasatan.
- Insiden itu kini berada dalam siasatan pihak polis dan KPM memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.
- “Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh mengganggu siasatan berhubung kematian seorang pelajar perempuan dikenali sebagai Zara Qairina yang dikaitkan dengan kes buli.
Fadhlina berkata insiden itu kini berada dalam siasatan pihak polis dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.
“Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sebelum itu memberitahu bahawa beliau dan Pengurusan Tertinggi KPM telah menziarahi keluarga mangsa di hospital bagi memastikan keperluan disediakan dan kebajikan keluarga berkenaan terpelihara.
Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga, termasuk dalam aspek sokongan psikososial.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian anakanda Zara Qairina. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial tentang seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu didakwa meninggal dunia selepas dipercayai terjun daripada tingkat tiga akibat dibuli oleh pelajar senior.
Dakwaan itu dibuat seorang pengguna media sosial, Marhamah Rosli menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis yang meminta agar pihak sekolah tidak menutup mulut atau mendiamkan kes tersebut. — The Merdeka Times