Connect with us

Terkini

Kaji semula pemberian PrEP kepada pengamal seks berisiko, Elak bercanggah nilai agama – NGO Kesihatan

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Presiden PAPISMA, Dr Awisul Islah Ghazali menegaskan langkah itu penting bagi memastikan pemberian PrEP tidak bercanggah dengan nilai agama, maqasid syariah dan budaya negara ini, khususnya susulan serbuan pesta ‘gay’ baru-baru ini yang turut dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan ubat tersebut.
  • Penyalahgunaan PrEP boleh mendorong tingkah laku berisiko seperti ‘chemsex’ dan parti seks, disebabkan rasa ‘kebal’ daripada jangkitan (seperti HIV).
  • Semua pihak digesa menggiatkan promosi untuk abstinen serta memfokuskan kepada aktiviti intervensi dan pemulihan bagi komuniti terlibat menerusi pendekatan dakwah dan rehabilitasi.

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) menggesa kajian semula secara profesional terhadap kriteria serta prosedur operasi standard (SOP) bagi pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada pengamal seks berisiko.

Presidennya, Dr Awisul Islah Ghazali menegaskan langkah itu penting bagi memastikan pemberian PrEP tidak bercanggah dengan nilai agama, maqasid syariah dan budaya negara ini, khususnya susulan serbuan pesta ‘gay’ baru-baru ini yang turut dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan ubat tersebut.

Beliau turut mengingatkan tentang risiko penyalahgunaan PrEP yang boleh mendorong kepada tingkah laku berisiko seperti ‘chemsex’ dan parti seks, disebabkan rasa ‘kebal’ daripada jangkitan (seperti HIV).

“Sebagai peringatan, Fatwa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-122 pada 18-20 Oktober 2023 menegaskan bahawa pemberian ubat PrEP bagi tujuan maksiat adalah HARAM.

“Ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan ubat ini sebelum melakukan hubungan seks sejenis/homoseksual tidak boleh dibenarkan sama sekali di dalam Islam, walau atas alasan kesihatan awam,” tegasnya dalam satu kenyatan di Facebook baru-baru ini.

Justeru, Dr Awisul menggesa semua pihak, termasuk KKM, NGO, komuniti, pengamal perubatan, pendidik, dan masyarakat agar bekerjasama dalam membendung pengaruh normalisasi maksiat.

Selain itu, mereka turut digesa menggiatkan promosi untuk abstinen (menghentikan tingkah laku seksual berisiko) serta memfokuskan kepada aktiviti intervensi dan pemulihan bagi komuniti terlibat menerusi pendekatan dakwah dan rehabilitasi.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook PAPISMA.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau susulan kebimbangan tentang laporan bercanggah berhubung serbuan pesta ‘gay’ di Kelantan baru-baru ini yang dikatakan ia turut dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan ubat PrEP yang semakin menimbulkan kegusaran masyarakat Muslim.

Menurut beliau, kenyataan bercanggah oleh Majlis AIDS Malaysia, yang mendakwa acara itu adalah program perubatan yang diluluskan KKM, serta penafian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, menimbulkan persoalan serius tentang ketelusan dan akauntabiliti pihak-pihak berkaitan.

“Oleh demikian, kami ingin mengingatkan masyarakat bahawa normalisasi maksiat berlaku apabila perbuatan maksiat tidak lagi dianggap salah atau memalukan serta masyarakat menjadi semakin liberal dan tidak sensitif terhadap isu moral dan agama,” katanya.

PAPISMA adalah sebuah NGO yang dianggotai gabungan tenaga-tenaga profesional kesihatan yang antara lain tujuannya adalah untuk membimbing ahli dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang sistem penjagaan kesihatan dan perubatan.—- The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author