Antarabangsa
“Ia sebuah kem tahanan, Saya minta maaf” – Ehud Olmert kecam rancangan jahat Israel
- “Ia satu idea yang buruk dari semua sudut, keselamatan, politik, ekonomi, logistik. Saya tidak suka menyamakan bandar kemanusiaan itu dengan kem tahanan, tetapi jika keluar masuk daripadanya dilarang, maka ia memang sebuah kem tahanan.”- Bekas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid
- “Ia adalah sebuah kem tahanan. Saya minta maaf. Apabila mereka membina kem dan berhasrat untuk ‘membersihkan’ lebih separuh Gaza, makna tersirat strategi ini bukanlah untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia adalah untuk menghalau mereka, menolak mereka, dan membuang mereka. Saya tidak nampak sebarang tafsiran lain.” – Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert
TEL AVIV – Dua bekas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid dan Ehud Olmert, secara terbuka mengkritik rancangan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu untuk menubuhkan sebuah “bandar kemanusiaan” di selatan Gaza, dengan menyifatkan ia sebagai usaha membina kem tahanan ke atas rakyat Palestin.
Lapid, yang juga ketua parti pembangkang utama Israel, memberitahu Radio Tentera Israel bahawa tiada kebaikan boleh diharapkan daripada rancangan membina “bandar kemanusiaan” di atas runtuhan bandar Rafah.
“Ia satu idea yang buruk dari semua sudut, keselamatan, politik, ekonomi, logistik.
“Saya tidak suka menyamakan bandar kemanusiaan itu dengan kem tahanan, tetapi jika keluar masuk daripadanya dilarang, maka ia memang sebuah kem tahanan ,” kata Lapid.
Lapid pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Israel selama enam bulan pada tahun 2022.
Mengikut kenyataan rasmi kerajaan Israel, “bandar kemanusiaan” tersebut bakal menempatkan 600,000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di kawasan sesak di al-Mawasi, di pesisir selatan Gaza.
Bagaimanapun, perancangan jangka panjang Israel adalah untuk memindahkan keseluruhan populasi Gaza yang melebihi dua juta orang ke kawasan tersebut.
Gambar satelit yang dianalisis oleh pelbagai pihak menunjukkan bahawa tentera Israel telah meningkatkan operasi perobohan di Rafah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada 4 April 2025, sekitar 15,800 bangunan telah dimusnahkan, dan jumlah itu meningkat kepada 28,600 menjelang 4 Julai 2025.
Ehud Olmert, yang memegang jawatan Perdana Menteri dari 2006 hingga 2009, turut mengecam keras rancangan tersebut ketika diwawancara oleh akhbar The Guardian di United Kingdom.
“Ia adalah sebuah kem tahanan. Saya minta maaf,” ujar Olmert.
Beliau menegaskan bahawa pemindahan penduduk Palestin secara paksa ke “bandar kemanusiaan” itu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada pembersihan etnik.
“Apabila mereka membina kem dan berhasrat untuk ‘membersihkan’ lebih separuh Gaza, makna tersirat strategi ini bukanlah untuk menyelamatkan rakyat Palestin.
“Ia adalah untuk menghalau mereka, menolak mereka, dan membuang mereka. Saya tidak nampak sebarang tafsiran lain,” katanya. -The Merdeka Times