Terkini
Edisi Siasat, Edisi Khas kena tindakan kerana langgar Akta 588
- Tindakan undang-undang sivil diambil terhadap Telegram dan pentadbir saluran Edisi Siasat serta Edisi Khas kerana kandungan yang melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak mahkamah telah mengeluarkan perintah sementara (ad-interim) yang membawa kepada penurunan kandungan tersebut dan penutupan saluran-saluran berkenaan.
KUALA LUMPUR — Tindakan undang-undang sivil yang diambil terhadap platform media sosial Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas adalah berikutan paparan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketika ini pihak mahkamah telah mengeluarkan perintah sementara (ad-interim) yang membawa kepada penurunan kandungan tersebut dan penutupan saluran-saluran berkenaan.
“Pada masa ini, tindakan undang-undang yang difailkan terhadap Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman web Dewan Rakyat hari ini.
Penjelasan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai jaminan kerajaan bahawa tindakan terhadap saluran Telegram seperti Edisi Siasat dan Edisi Khas tidak akan menjejaskan kebebasan bersuara terutamanya apabila kandungan yang disebarkan berkaitan dengan isu ketelusan dan anti-rasuah.
Menurut Fahmi, secara umumnya, rakyat bebas memaparkan kandungan di mana-mana saluran platform media sosial, termasuk berhubung isu ketelusan dan anti-rasuah.
Tindakan itu, katanya boleh dilakukan selagi mana kandungan tersebut serta pemaparannya tidak melanggar peruntukan undang-undang.
“Begitu juga dengan platform media sosial, di mana kandungan boleh dipaparkan di platform yang disediakan, tetapi platform tersebut perlu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kandungan yang dipaparkan tidak melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sentiasa mendukung hak kebebasan bersuara di mana setiap lapisan masyarakat dalam negara ini bebas untuk menyatakan pendapat dan kritikan.
Namun, tegas beliau hak tersebut tidak boleh disalahgunakan dan mempunyai had tertentu selagi mana tidak melanggar undang-undang sedia ada. — The Merdeka Times