Antarabangsa
CCTV dipadam, Penyokong Maccabi Tel Aviv bebas – Kes serangan Pro-Palestin di Amsterdam digugurkan
- Pihak berkuasa Belanda secara senyap-senyap menggugurkan kes serangan terhadap wanita Muslim dan penunjuk perasaan pro-Palestin di Amsterdam walaupun terdapat laporan saksi mata, bukti rakaman video, dan pengakuan bahawa beberapa slogan yang dilaungkan penyokong tersebut memenuhi definisi penghinaan jenayah di bawah undang-undang negara itu.
- Pendakwa raya mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden telah dipadamkan, dan mereka “tidak dapat mengenal pasti pelaku sebenar”.
- “Negara Belanda kini menghantar mesej bahawa rakyat Palestin dan penyokong mereka boleh diserang tanpa sebarang tindakan undang-undang.” – Hind Rajab Foundation
AMSTERDAM – Keputusan pendakwa raya Belanda untuk menggugurkan semua pertuduhan terhadap penyokong kelab bola sepak Israel, Maccabi Tel Aviv, telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak apabila bukti utama insiden serangan terhadap wanita Muslim dan penunjuk perasaan pro-Palestin di Amsterdam didakwa “hilang”.
Pada 16 Jun lalu, pihak berkuasa Belanda secara senyap-senyap menggugurkan kes walaupun terdapat laporan saksi mata, bukti rakaman video, dan pengakuan pendakwa bahawa beberapa slogan yang dilaungkan penyokong tersebut memenuhi definisi penghinaan jenayah di bawah undang-undang negara itu.
Namun, pendakwa raya mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden telah dipadamkan, dan mereka “tidak dapat mengenal pasti pelaku sebenar”.
Tindakan ini menerima kritikan keras daripada Hind Rajab Foundation (HRF) sebuah pertubuhan hak asasi manusia pro-Palestin yang menganggap keputusan itu sebagai satu “kegagalan politik yang memalukan” serta memberi “isyarat impuniti terhadap keganasan berunsur perkauman”.
HRF sebelum ini memfailkan aduan rasmi pada 9 November 2024, berkaitan siri serangan ganas oleh penyokong Maccabi Tel Aviv antara 5 hingga 8 November.
HRF menuduh pihak pendakwa mengamalkan “double standard” dengan menyatakan bagaimana pihak polis bertindak pantas terhadap penunjuk perasaan pro-Palestin, namun sebaliknya gagal bertindak terhadap penyokong pro-Israel yang terbukti melakukan keganasan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, HRF turut mengecam tindakan pihak penyiasat yang bergantung kepada pihak berkuasa Israel dalam siasatan, sambil menyifatkannya sebagai “sangat membimbangkan” memandangkan Israel mempunyai kepentingan langsung dalam melindungi pelaku-pelaku keganasan anti-Arab.
“Negara Belanda kini menghantar mesej bahawa rakyat Palestin dan penyokong mereka boleh diserang tanpa sebarang tindakan undang-undang,” ujar HRF, sambil memaklumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk memfailkan aduan di bawah Artikel 12 undang-undang Belanda, satu langkah untuk memaksa semakan kehakiman terhadap keputusan pendakwa raya.
Keputusan menggugurkan kes ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat di seluruh Eropah tentang sikap berat sebelah institusi terhadap suara pro-Palestin dan anti-genosid, yang sering ditekan, sementara keganasan dari kelompok pelampau kanan dan pro-Israel terus tidak diberi perhatian.
“Kami tidak akan berdiam diri. Keadilan tidak seharusnya bersifat selektif,” tegas kenyataan HRF. -The Merdeka Times