Connect with us

Terkini

CAP persoal kelewatan KKM bertindak isu vape campur dadah walau 96 siasatan dibuka sejak 2024

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Menurut Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V. Subbarow, lebih 70% daripada kes itu sah mengandungi dadah sintetik, tetapi sebarang tindakan konkrit tidak diambil walaupun telah berlalu lebih setahun.
  • Negara lain sudah lama haramkan vape atau kenakan peraturan ketat, namun Malaysia masih bertangguh yang sekali gus buka pintu kepada lebih banyak dadah berbahaya memasuki negara dan merosakkan masa depan generasi muda.
  • Kerajaan digesa bertindak tegas untuk pastikan tiada lagi generasi vape di Malaysia demi menyelamatkan masa depan anak-anak muda negara ini.

KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoalkan kelewatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan terhadap isu vape yang mengandungi dadah, meskipun sebanyak 96 kertas siasatan telah dibuka sejak awal tahun lalu.

Lebih membimbangkan menurut Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V. Subbarow adalah apabila lebih 70 peratus daripada kes itu secara sah mengandungi dadah sintetik seperti kanabinoid dan amphetamine, tetapi sebarang tindakan konkrit tidak diambil walaupun telah berlalu lebih setahun.

Tegasnya, negara lain sudah lama mengharamkan vape atau mengenakan peraturan ketat, namun Malaysia masih bertangguh yang sekali gus membuka pintu kepada lebih banyak dadah berbahaya memasuki negara dan merosakkan masa depan generasi muda.

“Sudah satu tahun berlalu tetapi tiada tindakan diambil. Apa lagi bukti yang diperlukan oleh pihak berkuasa?,” katanya dipetik MalaysiaGazette hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran penubuhan lebih banyak jawatankuasa khas memantau isu vape, sedangkan tiada tindakan segera diambil untuk mengharamkan rokok elektronik itu sepenuhnya.

Menurut Subbarow, pihaknya mengalu-alukan kerjasama antara KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu berkenaan, namun persoalan utama adalah mengapa masih tiada larangan penuh terhadap penggunaan vape di negara ini

“Mengapa perlu tunggu lebih banyak nyawa melayang?”soalnya.

Dalam masa sama, beliau menyentuh amaran bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada April lalu, yang mengesahkan terdapat pelajar seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan peranti vape bercampur dadah sintetik.

Malah, katanya, Ayob Khan turut mendedahkan kehadiran dadah fentanyl atau lebih dikenali sebagai “ubat zombi” dalam cecair vape, yang mempunyai kesan sehingga 100 kali lebih kuat daripada morfin dan boleh membawa maut.

“Ini bukan lagi isu rokok atau gaya hidup, ini ancaman keselamatan negara. Generasi muda kini bukan mahu hidup sihat, mereka kejar ‘gaya hidup zombi’ kerana mahukan keseronokan melalui dadah.

“Selain itu, penyelidikan juga mendapati 65 peratus cecair vape di pasaran mengandungi bahan terlarang seperti methamphetamin dan ekstasi yang diklasifikasikan sebagai racun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya bertindak tegas untuk memastikan tiada lagi generasi vape di Malaysia demi menyelamatkan masa depan anak-anak muda negara ini. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author