Antarabangsa
“Biar Gaza kebuluran sehingga tebusan dibebaskan” – Ahli Kongres Republikan
- Menerusi satu ciapan di platform X, ahli Kongres Republikan dari Florida, Randy Fine menggesa agar tebusan dibebaskan segera.
- “Bebaskan tebusan. Sehingga itu, biar mereka kebuluran. (Ini semua satu pembohongan. Saya hairan media terus menyebar propaganda pengganas Muslim),” tulisnya sebagai respons kepada laporan ABC News mengenai kematian 15 individu termasuk empat kanak-kanak akibat kebuluran dan kekurangan zat di Gaza.
FLORIDA — Seorang ahli Kongres Republikan dari Florida, Randy Fine, mencetuskan kontroversi selepas mengeluarkan kenyataan menghasut di media sosial yang menyarankan agar rakyat Gaza dibiarkan kebuluran sehingga kumpulan Hamas membebaskan semua baki tebusan.
Menerusi satu ciapan di platform X pada Selasa, Fine menggesa agar tebusan dibebaskan segera.
“Bebaskan tebusan. Sehingga itu, biar mereka kebuluran. (Ini semua satu pembohongan. Saya hairan media terus menyebar propaganda pengganas Muslim),” tulisnya sebagai respons kepada laporan ABC News mengenai kematian 15 individu termasuk empat kanak-kanak akibat kebuluran dan kekurangan zat di Gaza.
Kenyataan itu menerima kecaman meluas daripada pelbagai pihak, termasuk pertubuhan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan dan mempromosikan penderitaan terhadap orang awam yang tidak bersalah.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat sejak tercetusnya perang Gaza-Israel pada Oktober 2023 kini mencecah 101 orang, termasuk sekurang-kurangnya 80 kanak-kanak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyuarakan kebimbangan pada Mei lalu mengenai risiko kebuluran yang semakin meningkat di Gaza.
Laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC) menjangkakan kira-kira 71,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun berisiko mengalami kekurangan zat teruk dalam tempoh 11 bulan akan datang jika sekatan bantuan berterusan.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza memberitahu Reuters bahawa hospital kini terjejas teruk akibat jumlah mangsa tembakan yang tinggi dan kekurangan bekalan makanan serta ubat-ubatan, menjadikan rawatan untuk simptom berkaitan kebuluran semakin sukar.
Sehingga kini, Hamas masih menahan kira-kira 50 tebusan sejak serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Pejabat Randy Fine tidak memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen oleh Daily Caller News Foundation.
Kenyataan Fine menambah lagi ketegangan dalam perdebatan antarabangsa mengenai penderitaan rakyat Gaza dan kegagalan diplomasi dalam membebaskan tebusan secara aman.-The Merdeka Times