Antarabangsa
Bekas tentera AS dedah tentera Israel tembak orang awam cari makanan di Gaza
- Dalam temu bual bersama BBC, Leftenan Kolonel Anthony Aguilar berkata beliau tidak pernah melihat kekejaman dan penggunaan kekerasan secara membabi buta terhadap penduduk awam yang tidak bersenjata dan kelaparan sepertimana yang berlaku di Gaza.
- “Saya pernah ditugaskan di banyak zon perang, namun tidak pernah menyaksikan kekejaman seperti ini sehinggalah saya berada di Gaza, dilakukan oleh tentera Israel dan kontraktor AS,” ujarnya.
- Aguilar berkata mortar turut dilancarkan ke arah kelompok orang ramai untuk mengawal mereka, sambil menyelar pihak pengurusan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) sebagai tidak berpengalaman dan tidak tahu mengendalikan operasi berskala besar.
GAZA — Seorang bekas pegawai Pasukan Khas Tentera Amerika Syarikat (US Army Special Forces) mendedahkan bahawa beliau meletak jawatan daripada Yayasan Bantuan Kemanusiaan Gaza yang disokong Israel dan AS, selepas menyaksikan sendiri tindakan tentera Israel melepaskan tembakan ke atas orang awam yang sedang mencari bantuan.
Dalam temu bual bersama BBC pada Jumaat, Leftenan Kolonel Anthony Aguilar berkata beliau tidak pernah melihat kekejaman dan penggunaan kekerasan secara membabi buta terhadap penduduk awam yang tidak bersenjata dan kelaparan sepertimana yang berlaku di Gaza.
“Saya pernah ditugaskan di banyak zon perang, namun tidak pernah menyaksikan kekejaman seperti ini sehinggalah saya berada di Gaza, dilakukan oleh tentera Israel dan kontraktor AS,” ujarnya.
Aguilar mendakwa beliau menyaksikan sendiri jenayah perang oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF), termasuk serangan mortar, artileri dan tembakan kereta kebal ke arah orang awam yang tidak bersenjata, perbuatan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menceritakan bagaimana sebuah kereta kebal Merkava menembak ke arah kereta awam yang sedang beredar dari lokasi pengagihan bantuan, menyebabkan kemusnahan dan kematian.
Aguilar berkata mortar turut dilancarkan ke arah kelompok orang ramai untuk mengawal mereka, sambil menyelar pihak pengurusan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) sebagai tidak berpengalaman dan tidak tahu mengendalikan operasi berskala besar.
Lebih 100 organisasi kemanusiaan antarabangsa sebelum ini memberi amaran bahawa kebuluran besar sedang melanda Gaza sejak Israel menyekat kemasukan bantuan pada awal Mac. Bantuan yang disalurkan sejak akhir Mei melalui GHF dianggap tidak mencukupi dan tidak berkesan.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 127 rakyat Palestin termasuk lebih 85 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran sejak sekatan itu diperketatkan.
Lebih 1,000 lagi dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan daripada pusat agihan yang dikawal tentera Israel dan kontraktor AS.-The Merdeka Times