Terkini
Yusoff Rawther dilepas dan dibebaskan

- Muhammed Yusoff Rawther, 32 dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi hari ini daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan.
- Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan, kerana ia tidak membuktikan semua elemen kesalahan dengan bukti yang boleh dipercayai.
KUALA LUMPUR — Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther, 32 dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan, kerana ia tidak membuktikan semua elemen kesalahan dengan bukti yang boleh dipercayai.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan Yusoff mempunyai pengetahuan, penjagaan dan kawalan ke atas dadah dan pistol tiruan.
“Tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” kata Jamil dipetik media tempatan selepas mendengar hujahan lisan.
Dalam kes berkenaan, Muhammed Yusoff diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.
Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff dilapor didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. — The Merdeka Times
