Connect with us

Terkini

(VIDEO) Wap vape berbahaya kepada orang lain

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Jabatan Amalan Farmasi, Kuliyyah Farmasi, UIAM

KUALA LUMPUR — Wap yang terhasil apabila cecair dalam vape dipanaskan oleh alat rokok elektronik atau aerosol boleh membahayakan orang lain, termasuk kanak-kanak dan wanita hamil seperti mana penghisap rokok pasif.

Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Jabatan Amalan Farmasi, Kuliyyah Farmasi, UIAM menjelaskan seperti rokok, vape juga menghasilkan ‘aerosol pasif’ iaitu wap yang dihembus keluar oleh pengguna vape dan kemudiannya disedut secara tidak langsung oleh individu di sekeliling, termasuk kanak-kanak.

Beliau berkata dakwaan bahawa wap vape hanyalah wap air dan tidak membawa masalah (bahaya) adalah tidak tepat, kerana ia mengandungi bahan asas bersifat minyak iaitu vegetable glycerin dan propylene glycol.

Jelasnya, kajian juga telah menunjukkan terdapat ribuan bahan kimia berbahaya, termasuk nikotin dalam aerosol rokok elektronik yang boleh terampai dalam udara serta melekat pada permukaan di sekeliling seperti perabot, dinding dan permaidani serta kenderaan.

“Kalau kita ada anak kecil yang selalu merangkak, apa-apa bahan partikel yang ada di lantai itu akan diserap melalui kulit dan mereka sangat terdedah kepada bahaya bahan kimia ini kerana saiz badan mereka kecil berbanding dewasa jadi dos yang rendah pun berbahaya untuk golongan ini.

“Untuk ibu hamil, kita tahu dia melibatkan dua nyawa sekali gus, kalau kita tahu kesan-kesan perokok pasif, perokok aktif tak payah cerita lah — peningkatan risiko kecacatan janin, kematian kandungan, lahir bayi pramatang, kalau lahir pun ada masalah kurang berat badan lepas itu anak itu risiko ketagihan nikotin dan kita panggil development problem, cognitive problem, behaviour problem (kesan pada) masa depan itu dah tahu.

“Sebab rokok ini wujud dulu jadi apa-apa kajian yang telah dibuat sudah menunjukkan bukti kesan mudarat merokok secara aktif dan pendedahan secara pasif.

Jadi kalau data juga menunjukkan bahawa terdapat bahan kimia berbahaya dalam aerosol yang dihembus jadi saya tak heranlah kalau kita nak kata pelbagai kesan buruk berkaitan secondhand vaping — menghisap wap ataupun aerosol rokok elektronik itu daripada penghisap rokok asal,” katanya.

Mohamad Haniki menambah, bahan-bahan yang digunakan sebagai perisa dalam vape sememangnya selamat untuk dimakan atau diminum, namun apabila disedut sebagai aerosol atau asap, ia memasuki sistem pernafasan dan bukannya sistem penghadaman.

“Kita tak perlu perisa laici, bandung, durian apa-apa ke untuk masuk dalam paru-paru kita untuk apa? Untuk apa sebenarnya itu? Tak ada kepentingan dan tak ada sebab tapi disebabkan kenikmatan yang datang daripada nikotin itu ini kita anggap, ‘oh benda ini menyeronokkan dan kurang mudarat sebab berbau harum’.

“Itu sama sekali tidak betul, sebab perisa contohnya diacetyl yang terhasil  daripada perisa yang digunakan untuk menghasilkan cecair yang berbentuk creamy itu telah dibuktikan menyebabkan ‘Popcorn lungs’ atau bronchiolitis obliterans yang itu merosakkan paru-paru apatah lagi kalau dah sampai ke tahap EVALI itu memang tak boleh diselamatkan paru-paru secara kekal jadi apa-apa bahan pun dalam rokok elektronik itu berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di episod terbaru program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk, “Mengapa sukar untuk Malaysia sekat penjualan vape?”.

Program terbitan Studio Merdeka itu yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times turut menampilkan Ketua Pemuda AMANAH Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad. — The Merdeka Times




Author