Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Singapura kecam Israel: Sekatan bantuan ke Gaza tidak boleh diterima

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong

SINGAPURA – Israel mungkin telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong.

Wong berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron sempena lawatan negara presiden tersebut ke Singapura minggu lalu,

“Kami sentiasa menyatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Malangnya, tindak balas Israel telah melampaui batas dan tindakannya telah menyebabkan bencana kemanusiaan yang dahsyat dan sekatan yang dikenakan terhadap penghantaran bekalan kemanusiaan adalah sama sekali tidak boleh diterima,” tegasnya.

“Pada pandangan kami, ia mungkin merupakan satu pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Maka, ia tidak boleh dipertahankan,” tambah beliau.

Pada awal Mei, Israel telah menamatkan sebahagian sekatan bantuan selama 11 minggu ke atas Gaza. Bagaimanapun hanya sejumlah kecil bantuan dibenarkan masuk melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong oleh Amerika Syarikat.

“Kami menyertai negara-negara lain di seluruh dunia untuk menyeru kepada gencatan senjata serta-merta, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, perlindungan terhadap orang awam serta pembebasan semua tebusan,” kata Wong.

Beliau turut menegaskan bahawa Singapura menyokong hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air mereka sendiri.

Ini menurutnya perlu dicapai melalui penyelesaian dua negara kerana itu adalah satu-satunya jalan ke arah penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekalan dalam konflik jangka panjang Israel-Palestin.

Wong turut menyebut usaha antarabangsa ke arah ini, termasuk satu persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bakal dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi dari 17 hingga 20 Jun. Matlamatnya adalah untuk merangka parameter ke arah penubuhan negara Palestin, sambil memastikan keselamatan Israel. -The Merdeka Times

 

Author