Terkini
(VIDEO) MMC diharap jadi pelindung media, bukan ‘regulator’

KUALA LUMPUR — Majlis Media Malaysia (MMC) diharapkan tidak berperanan sebagai ‘regulator’ atau badan penguat kuasa yang mengawal selia media, sebaliknya berfungsi memberi kebebasan serta bertindak menjadi pelindung dan penjaga buat media di Malaysia.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata yang paling penting ketika ini MMC diharap berupaya menjadi pelindung buat kesemua organisasi media di negara ini memandangkan mereka berada di bawah satu payung besar, iaitu MMC.
“Saya rasa susah juga nak jangka apa yang akan berlaku (dengan penubuhan MMC) tetapi of course daripada pihak media kalau saya sendiri rasa dalam perbincangan dan pertemuan dengan majlis Protem (Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia) ialah kita mahukan kebebasan dan juga bukan menjadi regulator.
“Paling penting sekali memang kita meminta apabila semua media berada di bawah satu payung besar MMC kita harapkan MMC ini menjadi pelindung atau penjagalah media-media di Malaysia.
“Ia supaya apabila kita bergerak ke hadapan permintaan kita baik kepada pihak kerajaan ataupun pihak industri, korporat dan sebagainya didengari dan lebih kuatlah berbanding daripada kita bergerak secara single,” katanya kepada The Merdeka Times ketika ditemui selepas Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sejauh mana penubuhan Majlis Media Malaysia dapat menjamin kebebasan media tanpa intimidasi kerterlaluan daripada pihak kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berpandangan dalam hal ini perkara paling penting adalah mewujudkan ekosistem yang kondusif buat semua pemain industri supaya mereka dapat berfungsi dan menjalankan tugas dengan baik.
Beliau berkata, penting juga memastikan pihak media melaksanakan tugas secara bertanggungjawab, selain penerima maklumat menerima manfaat daripada laporan dibuat.
“Pada saya yang paling penting sekali adalah kita mewujudkan satu ekosistem yang kondusif kepada semua pemain-pemain dalam industri untuk berfungsi dan menjalankan tugas mereka dengan baik jadi pada saya itu yang paling penting, yang kedua bagaimana mereka boleh menjalankan tugas mereka dengan penuh bertanggungjawab.
“Dan juga yang ketiga bagaimana manfaatnya akan diterima oleh penerima informasi jadi cabaran dia itu agak banyak memang banyak tetapi tiada cabaran yang kita tidak boleh atasi sekiranya kita bekerjasama dengan baik pada saya itu yang penting,” katanya ketika disoal berkenaan jangkaan beliau sama ada penubuhan MMC boleh memberi jaminan tentang kebebasan media. — The Merdeka Times
