Terkini
(VIDEO) Ketagih nikotin punca remaja alami penyakit mental

KUALA LUMPUR — Nikotin yang terkandung dalam vape bukan sahaja akan merosakkan proses perkembangan otak remaja dan kanak-kanak, malah penggunaannya yang membawa kepada ketagihan juga boleh menyebabkan penyakit mental.
Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Jabatan Amalan Farmasi, Kuliyyah Farmasi, UIAM menjelaskan bahawa nikotin boleh menjejaskan proses perkembangan otak kerana organ penting itu hanya mencapai kematangan sepenuhnya antara usia 20 hingga 25 tahun.
Mohamad Haniki berkata dari segi kesihatan mental pula adalah jelas bahawa sebarang bahan yang menyebabkan ketagihan itu adalah bahaya, termasuk nikotin.
“Apa lagi kalau bahan itu dihantar dengan cepat dan dalam kuantiti yang banyak seperti mana rokok elektronik menghantar nikotin, bahan yang menyebabkan ketagihan, potensi untuk menyebabkan kebergantungan itu adalah sama seperti heroin atau kokain.
“Begitu kuat dia punya potensi menyebabkan kebergantungan dan ketagihan, bila hantar nikotin dengan cepat dan lebih tinggi, risiko kepada pengguna terutamanya kanak-kanak dan remaja adalah ketagihan.
“Apabila ketagihan, dia akan menyebabkan penyakit mental sebab apabila berlaku tobacco use disorder atau kelainan penggunaan tembakau ia adalah di bawah Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5) mengalami masalah mental dan behaviour jadi kita mendedahkan remaja kita kepada penyakit mental pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di episod terbaru program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk, “Mengapa sukar untuk Malaysia sekat penjualan vape?”.
Program terbitan Studio Merdeka itu yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times turut menampilkan Ketua Pemuda AMANAH Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad. — The Merdeka Times
