Connect with us

Terkini

(VIDEO) Keputusan mahkamah hari ini tutup ‘pintu’ risiko fatwa dicabar – Haniff Khatri

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Peguam mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Mohamed Haniff Khatri Abdulla

KUALA LUMPUR — Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung isu fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 telah menutup ‘pintu’ bagi mana-mana pihak untuk mencabar fatwa pada masa akan datang.

Peguam mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan perkara itu bagi memperbetulkan anggapan mana-mana pihak yang mungkin berpandangan keputusan mahkamah hari ini telah membuka ruang untuk kandungan fatwa dicabar, sedangkan ia adalah sebaliknya.

Jelasnya, fatwa tidak boleh dicabar kerana mahkamah tidak akan mencampuri isi kandungan atau inti pati fatwa iaitu berkenaan hukum syarak kerana ia terletak di bawah bidang kuasa jawatankuasa fatwa.

“…Rumusannya adalah melalui keputusan ini Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan jawatankuasa fatwa mana-mana negeri lain mempunyai kuasa yang sah untuk mengeluarkan fatwa dari masa ke semasa berkaitan dengan mana-mana hukum yang perlu untuk membimbing umat Islam,” katanya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Fatwa yang diwartakan Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu sebelum ini dicabar keabsahannya oleh Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia), selepas ia mengisytiharkan SIS Forum dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman majoriti 3-1 hari ini memutuskan pemakaian fatwa itu adalah sah setakat individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama sahaja, dan bukan ke atas sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat seperti SIS Forum (Malaysia).

Mahkamah turut menyatakan pihaknya enggan mengulas atau memberi sebarang pendapat tentang kandungan fatwa tersebut, kerana ia berada dalam bidang kuasa eksklusif responden (jawatankuasa fatwa).

Pada masa sama, Haniff mengingatkan jawatankuasa fatwa supaya selepas ini tidak merangka fatwa ke atas sesebuah syarikat ataupun persatuan, sebaliknya mereka perlu mengeluarkan fatwa tersebut terhadap individu. — The Merdeka Times

 

Author