Antarabangsa
(VIDEO) Iran guna ‘kaedah baharu’ pastikan peluru berpandu tembus “Iron Dome” Israel

- Pengawal Revolusi Iran berkata serangan terbaharu ini menggunakan kaedah baharu yang menyebabkan sistem pertahanan berlapis Israel saling menyerang antara satu sama lain, membolehkan Iran berjaya mengenai banyak sasaran.
- Pegawai Israel berulang kali menyatakan sistem pertahanan Iron Dome mereka tidak mampu memberikan perlindungan 100% dan memberi amaran tentang hari-hari sukar yang bakal tiba.
- Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan terkini Iran, menjadikan jumlah korban di Israel meningkat kepada 18 orang sejak Jumaat.
TEL AVIV – Peluru berpandu Iran telah mengenai Tel Aviv dan bandar pelabuhan Haifa di Israel sebelum Subuh pada hari Isnin, memusnahkan kediaman dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin dunia di mesyuarat G7 minggu ini bahawa konfrontasi ini boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih meluas.
Pengawal Revolusi Iran berkata serangan terbaharu ini menggunakan kaedah baharu yang menyebabkan sistem pertahanan berlapis Israel saling menyerang antara satu sama lain, membolehkan Iran berjaya mengenai banyak sasaran.
Pasukan Pertahanan Israel tidak memberikan sebarang komen segera berhubung serangan tersebut.
Bagaimanapun, Reuters melaporkan pegawai Israel berulang kali menyatakan bahawa sistem pertahanan Iron Dome mereka tidak mampu memberikan perlindungan 100% dan memberi amaran tentang hari-hari sukar yang bakal tiba.
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan terkini Iran, menurut perkhidmatan kecemasan kebangsaan, menjadikan jumlah korban di Israel meningkat kepada 18 orang sejak Jumaat.
Sekurang-kurangnya 100 lagi cedera dalam serangan malam itu, sebahagian daripada gelombang serangan oleh Tehran sebagai balasan terhadap serangan awal Israel yang menyasarkan program nuklear dan peluru berpandu balistik musuh ketatnya, Iran.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan di Haifa, di mana kira-kira 30 orang cedera, kata pihak berkuasa kecemasan, apabila puluhan petugas kecemasan bergegas ke kawasan serangan.
Media turut melaporkan kebakaran berlaku di sebuah loji janakuasa berhampiran pelabuhan.
Rakaman video menunjukkan beberapa peluru berpandu di udara Tel Aviv dan letupan turut kedengaran di sana serta di sekitar Baitulmaqdis.
Beberapa bangunan kediaman di kawasan kejiranan padat di Tel Aviv musnah dalam serangan yang turut memecahkan tingkap hotel dan rumah berdekatan, hanya beberapa ratus meter dari cawangan Kedutaan AS di bandar itu.
Duta Besar Amerika Syarikat berkata bangunan tersebut mengalami kerosakan kecil, tetapi tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan kakitangan.
Peluru berpandu yang dilancarkan sebelum subuh itu turut mengenai kawasan berhampiran Shuk HaCarmel, sebuah pasar terkenal di Tel Aviv yang biasanya dipenuhi penduduk dan pelancong membeli buah-buahan dan sayuran segar, serta kawasan bar dan restoran yang popular.
Sebatang jalan kediaman di Petah Tikva yang berdekatan dan sebuah sekolah di bandar ultra-Ortodoks Yahudi Bnei Brak turut menjadi sasaran. – The Merdeka Times
