Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Hampir 60 lagi dibunuh di Gaza, ramai ditembak Israel ketika cuba dapatkan makanan

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Ini merupakan kematian terbaharu di kawasan-kawasan tapak bantuan yang dikritik hebat sebagai “rumah penyembelihan manusia”.
  • “Orang ramai memberitahu kami bahawa tentera Israel tidak memberikan sebarang amaran kepada kumpulan rakyat Gaza yang sedang kelaparan sebelum melepaskan tembakan” – Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum.
  • Tahap kelaparan yang membimbangkan dan bayangan kebuluran telah mendorong rakyat keluar ke beberapa pusat agihan makanan yang masih wujud di Gaza walaupun berdepan risiko ditembak tentera Zionis. 

GAZA – Pasukan tentera Israel telah membunuh 59 rakyat Palestin di seluruh Gaza, sekurang-kurangnya 17 daripada mereka ketika sedang cuba mendapatkan makanan di tapak bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Ini merupakan kematian terbaharu di kawasan-kawasan yang dikritik hebat sebagai “rumah penyembelihan manusia”.

Petugas perubatan di Hospital al-Awda di Gaza tengah pada Ahad memberitahu Al Jazeera bahawa sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan puluhan lagi cedera akibat tembakan Israel ketika mereka cuba menghampiri tapak GHF berhampiran Koridor Netzarim, dalam usaha terdesak untuk mendapatkan sedikit bungkusan makanan bagi keluarga mereka yang kelaparan.

Sekurang-kurangnya 10 lagi dilaporkan terbunuh dan lebih 50 orang cedera di Gaza selatan. Ramai mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Palang Merah di Rafah, menurut petugas perubatan.

“Orang ramai memberitahu kami bahawa tentera Israel tidak memberikan sebarang amaran kepada kumpulan orang yang lapar itu sebelum melepaskan tembakan, menyebabkan korban awam yang amat dahsyat,” lapor wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum dari Deir el-Balah di Gaza tengah.

Beberapa serangan udara Israel turut membedil Gaza selatan pada Ahad, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh. Tujuh lagi terbunuh apabila satu serangan Israel mensasarkan sekumpulan penduduk di bandar Beit Lahiya di utara Gaza, menurut petugas perubatan.

Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam satu serangan Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di Gaza tengah.  Agensi Palestin, Wafa, melaporkan bahawa serangan ke atas bangunan kediaman itu turut mencederakan beberapa orang.

Tahap kelaparan yang membimbangkan dan bayangan kebuluran telah mendorong rakyat keluar ke beberapa pusat agihan makanan yang masih wujud di Gaza walaupun berdepan risiko besar. 

Namun, tentera Israel bertindak balas dengan tembakan penembak tepat dan pengeboman. Ratusan rakyat Palestin telah terbunuh dalam insiden tembakan beramai-ramai yang hampir berlaku setiap hari, dan GHF dituduh menyalahgunakan bantuan sebagai senjata.

Pada Sabtu pula, sekurang-kurangnya 79 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya ketika sedang mencari bantuan. Petugas perubatan di Hospital al-Awda dan Hospital Al-Aqsa di Gaza tengah berkata sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh ketika cuba mendekati pusat agihan bantuan GHF berhampiran Koridor Netzarim. – The Merdeka Times

Author