Connect with us

Terkini

(VIDEO) Dua lelaki maut ditembak di pusat beli-belah Cheras malam tadi

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Kes serangan tembak menyebabkan kematian dua lelaki berlaku membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras.

KUALA LUMPUR — Satu lagi kes serangan tembak menyebabkan kematian dua lelaki berlaku membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, di sini tengah malam tadi ketika kedua-dua mangsa sedang menuju ke arah kereta yang diletakkan di perkarangan pusat beli-belah berkenaan.

Menurut saksi, sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa yang pada ketika itu berada di bahagian luar perkarangan pusat beli-belah.

“Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah,” katanya dipetik BH yang berada di lokasi kejadian dan mendapati mayat kedua-dua mangsa terbaring dalam jarak lima meter di hadapan kenderaan mereka.

Kumpulan lelaki terbabit dilapor bersenjata pistol kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Alza.

“Kedua-dua mangsa itu yang ditembak pada bahagian badan dan kepala disahkan mati di tempat kejadian,” katanya.

Pada masa sama, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dengan dibantu Unit Forensik Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an, berasal dari Sibu, Sarawak.

Polis Kontinjen Kuala Lumpur dilapor sedang mengumpul maklumat daripada saksi kejadian serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian ini dalam masa terdekat.

Pada Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan dilaporkan maut, manakala dua lagi rakannya cedera selepas disyaki ditembak dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun tersebut sedang makan bersama beberapa rakan sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka. — The Merdeka Times

Author