Antarabangsa
Tun Mahathir seru ASEAN perkukuh perdagangan dengan China dan India ganti AS

- Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru negara-negara Asia Tenggara untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan China dan India bagi menggantikan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat, susulan peningkatan tarif dan dasar perlindungan ekonomi oleh Washington.
- “Jika China terus berkembang dan menjadi kuasa ekonomi nombor satu, peluang kita untuk menembusi pasaran China akan lebih baik,” kata Tun Mahathir sambil menegaskan bahawa kemajuan China wajar dilihat sebagai peluang menggantikan kerugian akibat dasar AS.
- Mahathir menyuarakan keyakinan bahawa China akan mengatasi AS dan muncul sebagai negara paling berpengaruh di dunia.
TOKYO – Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru negara-negara Asia Tenggara untuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan China dan India bagi menggantikan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat, susulan peningkatan tarif dan dasar perlindungan ekonomi oleh Washington.
Dalam satu temu bual bersama Nikkei Asia sempena forum Future of Asia di Tokyo minggu lalu, Mahathir menyatakan bahawa Malaysia seharusnya meningkatkan perdagangan dengan China dan India untuk menampung kerugian akibat penurunan dagangan dengan AS.
Katanya, negara-negara ASEAN secara umumnya mempunyai hubungan baik dengan China, yang merupakan pasaran besar untuk rantau ini.
“Jika China terus berkembang dan menjadi kuasa ekonomi nombor satu, peluang kita untuk menembusi pasaran China akan lebih baik,” katanya sambil menegaskan bahawa kemajuan China wajar dilihat sebagai peluang menggantikan kerugian akibat dasar AS.
Mahathir turut menambah bahawa nilai perdagangan ASEAN dengan China kini jauh lebih besar berbanding dengan AS, dan masih terdapat ruang untuk meningkatkan hubungan dagang dengan India.
Dalam sesi ucapannya di forum itu, Mahathir menyuarakan keyakinan bahawa China akan mengatasi AS dan muncul sebagai negara paling berpengaruh di dunia.
Hubungan ASEAN dengan China dan rantau lain seperti Teluk Parsi semakin rapat, dengan sidang kemuncak tiga hala bersejarah diadakan di Kuala Lumpur bulan lalu.
Statistik menunjukkan perdagangan ASEAN dengan China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) melebihi AS$900 bilion tahun lalu iaitu hampir dua kali ganda daripada dagangan dengan AS.
Beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia kini berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan kumpulan ekonomi lain seperti BRICS. Mahathir menyatakan ASEAN perlu meningkatkan perdagangan dalaman serta dengan negara-negara membangun dalam BRICS untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa Barat.
Mengulas isu lambakan produk murah China, Mahathir berkata ASEAN harus menerima realiti bahawa China akan terus menjadi pengeluar kos rendah, namun menyatakan subsidi kerajaan oleh China tidak boleh bertahan lama dan tidak semua produk boleh disubsidi.
Mahathir, yang bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada Julai, turut berkongsi kenangan lawatannya ke Jepun pada 1961 yang mengilhamkan dasar “Pandang ke Timur”. Katanya, dasar itu mempercepatkan pembangunan Malaysia berbanding negara ASEAN lain, kecuali Singapura. -The Merdeka Times
