Antarabangsa
Trump tolak rancangan Israel bunuh Ayatollah Ali Khamenei

- Menurut seorang pegawai, Trump dilaporkan memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa membunuh Ayatollah adalah “bukan idea yang baik”.
- “Adakah orang Iran telah membunuh mana-mana rakyat Amerika? Tidak. Sehingga mereka berbuat demikian, kami tidak akan mempertimbangkan untuk mensasarkan pemimpin politik,” – pegawai kanan dalam pentadbiran AS.
- Pegawai tertinggi AS telah berhubung secara berterusan dengan pegawai-pegawai Israel sejak Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah menolak rancangan Israel untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Perkara itu dibongkarkan tiga pegawai AS kepada rakan media BBC di AS, CBS News.
Menurut seorang pegawai, Trump dilaporkan memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa membunuh Ayatollah adalah “bukan idea yang baik”.
Bagaimanapun, Presiden Trump belum memberikan sebarang komen secara terbuka mengenai laporan tersebut.
Perbualan itu dikatakan berlaku selepas Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada hari Jumaat.
Dalam satu temu bual bersama Fox News, Netanyahu tidak secara langsung mengesahkan atau menafikan laporan daripada Reuters yang mengatakan bahawa Trump telah menolak rancangan untuk membunuh Ayatollah.
“Adakah orang Iran telah membunuh mana-mana rakyat Amerika? Tidak. Sehingga mereka berbuat demikian, kami tidak akan mempertimbangkan untuk mensasarkan pemimpin politik,” kata salah seorang sumber, iaitu pegawai kanan dalam pentadbiran AS yang dipetik The Guardian.
Ketiga-tiga pegawai yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan itu berkata pegawai tertinggi AS telah berhubung secara berterusan dengan pegawai-pegawai Israel sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran dalam usaha kononnya untuk menghentikan program nuklear negara itu.
Mereka berkata Israel telah melaporkan bahawa mereka mempunyai peluang untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran, namun Trump telah mengarahkan mereka untuk tidak meneruskan rancangan itu.
Pegawai berkenaan tidak menyatakan sama ada Trump sendiri yang menyampaikan mesej tersebut. Namun, Trump dilaporkan kerap berhubung dengan Netanyahu. – The Merdeka Times
