Antarabangsa
Trump desak Israel batalkan perbicaraan rasuah Netanyahu, Sifatkan PM zionis itu wira besar
- “Penghinaan terhadap ‘keadilan’ ini tidak boleh dibiarkan! Perbicaraan Bibi Netanyahu harus dibatalkan serta-merta, atau pengampunan diberikan kepada seorang wira besar yang telah banyak berjasa kepada negara,” tegas Trump.
- Netanyahu kini berdepan dengan pertuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah namun sejak awal lagi beliau menggambarkan dirinya sebagai mangsa konspirasi politik.
- Trump menyelar pertuduhan yang dihadapi Netanyahu sejak 2020 dan menggesa Israel membatalkan perbicaraan tersebut serta-merta atau memberi pengampunan.
Washington – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa kerajaan Israel agar segera membatalkan perbicaraan rasuah terhadap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu atau memberikannya pengampunan penuh.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social, Trump menyifatkan perbicaraan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap keadilan dan mendakwa bahawa di bawah kepimpinannya, Amerika Syarikat telah menyelamatkan Israel dan kini perlu menyelamatkan Netanyahu pula.
“Saya terkejut mendengar bahawa Israel masih meneruskan pendakwaan terpilih yang tidak masuk akal terhadap Perdana Menteri mereka yang hebat semasa waktu perang,” tulis Trump.
Beliau memuji kepimpinan Netanyahu dalam apa yang digambarkannya sebagai salah satu detik terhebat dalam sejarah Israel, merujuk kepada serangan Israel terhadap Iran baru-baru ini.
Trump turut menyatakan bahawa beliau dan Netanyahu telah “melalui neraka bersama,” dalam memerangi musuh utama Israel, iaitu Iran.
Beliau menggambarkan Netanyahu sebagai pejuang tiada tandingan dalam sejarah Israel, dan mendakwa pemimpin itu memainkan peranan utama dalam memusnahkan ancaman nuklear besar.
Trump menyelar pertuduhan yang dihadapi Netanyahu sejak 2020 dan menggesa Israel membatalkan perbicaraan tersebut serta-merta atau memberi pengampunan.
“Penghinaan terhadap ‘keadilan’ ini tidak boleh dibiarkan!
“Perbicaraan Bibi Netanyahu harus dibatalkan serta-merta, atau pengampunan diberikan kepada seorang wira besar yang telah banyak berjasa kepada negara,” tegas Trump.
Netanyahu kini berdepan dengan pertuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah namun sejak awal lagi beliau menggambarkan dirinya sebagai mangsa konspirasi politik.
Malah, Netanyahu sering mengulang semula retorik Trump dengan menyifatkan siasatan ke atasnya sebagai “witch hunt,” sambil menuduh media dan badan kehakiman sebagai dalang serangan terhadapnya. -The Merdeka Times