Connect with us

Terkini

Tiada tauliah agama, Maszlee Malik dakwa sesi berucap di IPTA Johor dibatalkan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik
  • Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa sesi ucaptamanya di salah sebuah IPTA di Johor berkenaan inovasi dari kerangka ‘Ihsan’ yang merupakan salah satu tonggak MADANI telah dibatalkan atas alasan beliau tiada tauliah untuk mengajar agama di negeri itu.
  • Susulan pembatalan itu, Maszlee membangkitkan persoalan tentang sejak bila tajuk berkenaan inovasi dan ihsan (MADANI) termasuk dalam kategori kuliah agama.
  • “Bila pulakah IPTA tidak boleh mengadakan wacana akademik apatah lagi tentang Agenda MADANI kerajaan kecuali dengan tauliah mengajar agama?,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa sesi ucaptamanya di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Johor berkenaan inovasi dari kerangka ‘Ihsan’ yang merupakan salah satu tonggak MADANI telah dibatalkan atas alasan beliau tiada tauliah untuk mengajar agama di negeri itu.

Susulan pembatalan itu, Maszlee yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam membangkitkan persoalan tentang sejak bila tajuk berkenaan inovasi dan ihsan (MADANI) termasuk dalam kategori kuliah agama.

“Bila pulakah IPTA tidak boleh mengadakan wacana akademik apatah lagi tentang Agenda MADANI kerajaan kecuali dengan tauliah mengajar agama?

“Jika ceramah agama dan kuliah agama umum atau di masjid memang bukan minat dan medan saya… Itu saya faham dan maklum, dan saya tiada masalah dengan perkara tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, sebelum ini juga beliau terpaksa menolak apabila terdapat beberapa pihak dan negeri mengundang ke program keagamaan sama ada ceramah atau forum di khalayak kerana tidak berminat dengannya, melainkan dianjurkan institusi akademik serta disampaikan dalam Bahasa Arab atau Inggeris.

Katanya, beliau akur bahawa persoalan hukum-hakam dan wacana agama merupakan medan para asatizah dan agamawan, bukan medan beliau lagi selepas sudah lama ruangan tersebut ditinggalkan.

“Tetapi wacana akademik di menara gading yang sepatutnya mempunyai autonomi?Ini satu yang baharu bagi saya,” ujarnya yang turut menyarankan supaya selepas ini diwujudkan pemisahan jelas di antara ruang akademik dan politik, dengan bidang kuasa pihak berkuasa agama di dalam sebarang aktiviti dan ruang akademia.

Beliau berkata pemisahan itu perlu supaya pihak berkuasa agama tidak dibebankan dengan polemik akademia dan perbincangan politik yang menjangkaui bidang kuasa serta kefahaman mereka.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Maszlee Malik.

“Terbayang saya bagaimana ketika saya diundang ke Oxford, University of Tehran, Hankuk University Korea, Durham University, Georgetown University US, Goethe University, Tsin Hwa University Peking, Moscow dan lain-lain universiti terkemuka dunia, tidak pula timbul isu pihak berkuasa agama mereka menghalang mantan menteri, ahli politik dan mantan ahli akademik seperti saya menyampaikan wacana akademik di dalam universiti di atas alasan tiada tauliah mengajar agama!

“Jangan salah sangka, saya tidak terkilan dan tidak terkesan apatah lagi kesal pun dengan perkara ini… Cuma saya sedang menahan diri dari terbahak menyaksikan kelucuan lelucon ini sahaja.

Surely, we never fail to entertain the world with our perfectly subtle imbecility…(Sudah tentu, kita tidak pernah gagal menghiburkan dunia dengan kebodohan kita yang sangat halus),” katanya.

Foto: Tangkap layar komen Dr Anuar dan Akhi Fairuz di ruangan komen Facebook Dr Maszlee Malik.

Hantaran itu dilihat turut mendapat perhatian Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad yang meninggalkan komen dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang sangat mendukacitakan, bagaimanapun Maszlee sebagai respon balas memberitahu beliau tidak mengambil ‘pot’ atau tidak kisah berkenaannya.

Turut memberi komen adalah Penulis Ebook Seksualiti Kanak-kanak, Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang memaklumkan beliau juga baru melalui sesi temu duga bersama jabatan agama negeri berkenaan untuk menyampaikan topik ketagihan pornografi kepada pelajar IPTA dan berkaitan program MADANI.

“Saya ikut sahaja, sebab dah itu prosedur mereka. 😅 Namun benda ni agak baru juga untuk saya, sebab yalah kita bukan berceramah agama dan bukan di masjid,” tulisnya di ruangan komen. — The Merdeka Times

Author