Connect with us

Antarabangsa

“Tiada had” dalam tindak balas terhadap serangan Israel – Iran

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • “Dengan rejim pengganas yang menduduki Al-Quds (Baitulmaqdis) telah melampaui semua garis merah maka tiada had dalam membalas jenayah ini.” – Angkatan Tentera Iran
  • Lebih 100 dron telah dilancarkan oleh Iran dalam serangan balas, dengan pasukan tentera udara Israel mula memintas dan menembak jatuh dron tersebut sebelum memasuki ruang udaranya.
  • Jordan juga dilapor memintas dron Iran.

TEHRAN – Angkatan tentera Iran mengumumkan bahawa tiada sebarang batasan terhadap tindak balas mereka terhadap Israel susulan serangan rejim zionis itu ke atas sasaran ketenteraan dan nuklear, termasuk di ibu negara Tehran.

“Dengan rejim pengganas yang menduduki Al-Quds (Baitulmaqdis) telah melampaui semua garis merah… maka tiada had dalam membalas jenayah ini,” kata kenyataan dikeluarkan oleh staf umum angkatan tentera Iran.

Lebih 100 dron telah dilancarkan oleh Iran dalam serangan balas, dengan pasukan tentera udara Israel mula memintas dan menembak jatuh dron tersebut sebelum memasuki ruang udaranya.

Sementara itu, siren amaran berbunyi di ibu kota Jordan, Amman, berikutan serangan dron Iran ke atas Israel.

Media rasmi Jordan melaporkan bahawa beberapa dron yang memasuki ruang udara negara itu berjaya dipintas oleh pertahanan udara mereka.

Menurut seorang pegawai keselamatan kepada The Times of Israel, Israel telah bertahun-tahun membuat persiapan untuk operasi terhadap program nuklear dan peluru berpandu Iran.

Ini termasuk membina pangkalan dron rahsia di dalam Iran serta menyeludup sistem senjata berketepatan tinggi dan komando ke negara tersebut.

Pegawai itu turut mendedahkan bahawa ejen-ejen Mossad telah menubuhkan pangkalan dron berhampiran Tehran, yang kemudiannya digerakkan pada waktu malam untuk menyerang pelancar peluru berpandu permukaan ke permukaan yang disasarkan ke arah Israel.

Keretakan hubungan antara kedua-dua negara ini kini memasuki fasa kritikal, dengan ancaman konflik berskala penuh semakin membayangi rantau Asia Barat. -The Merdeka Times

Author