Connect with us

Terkini

Syed Saddiq dilepas bebas daripada empat pertuduhan

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
  • Ahli Parlimen Muar itu dilepas dan dibebaskan daripada 4 pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA.
  • Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Noorin Badaruddin berkata pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.
  • “Tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang.
  • “Perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus (perlakuan fizikal jenayah),” katanya.

KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara memutuskan bekas menteri itu tidak bersalah, sekali gus menerima rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Dua lagi hakim yang turut bersidang adalah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Ketika membacakan alasan penghakiman lebih satu jam, Noorin berkata pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.

“Tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang.

“Perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus (perlakuan fizikal jenayah),” katanya dipetik media tempatan.

Menurut beliau, justeru panel mendapati sabitan dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat, selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman itu.

Foto: Syed Saddiq dan keluarga sujud syukur selepas keputusan mahkamah.

Sepanjang prosiding, Syed Saddiq diwakili peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan mewakili pendakwaan selaku responden.

Sebelum ini, Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Beliau didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari ARMADA Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020, dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang adalah hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan itu, hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 4(1) akta sama, iaitu penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author