Terkini
SSM, KPDN dan KDN didesak gugurkan perkataan “Islam” daripada SIS
- Presiden PEKIDA, Datuk Mohd Foad Mat Isa menegaskan perkataan “Islam” tidak seharusnya digunakan entiti yang menyanggah fatwa sah atau menyebar fahaman bertentangan syariat Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
- ROS, SSM, KDN atau agensi kerajaan berkaitan didesak ketatkan syarat penggunaan perkataan “Islam”.
- Ia supaya perkataan “Islam” tidak disalah guna anasir tidak bertanggungjawab, berniat jahat atau dengan sengaja hendak mengelirukan pemikiran Muslim di negara ini.
-
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil turut gesa SIS Forum menghentikan penggunaan nama “Sisters in Islam”.
-
Beliau menyatakan nama tersebut mengelirukan masyarakat Islam.
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA Malaysia) menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggugurkan perkataan “Islam” daripada nama pertubuhan atau syarikat Sisters in Islam (SIS) kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat awam.
Presidennya, Datuk Mohd Foad Mat Isa menegaskan perkataan “Islam” tidak seharusnya digunakan oleh mana-mana entiti yang menyanggah fatwa sah atau menyebar fahaman bertentangan syariat Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau juga mendesak Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), SSM, KDN atau mana–mana agensi kerajaan yang berkuasa dalam meluluskan penubuhan sesuatu syarikat, pertubuhan atau badan mengetatkan syarat penggunaan perkataan “Islam”.
Jelasnya, tindakan itu perlu supaya perkataan “Islam” tidak disalah guna oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, berniat jahat atau dengan sengaja hendak mengelirukan pemikiran Muslim di negara ini.
“PEKIDA MALAYSIA juga ingin memperingatkan masyarakat bahawa kebebasan bersuara tidak bermakna kebebasan mencabar hukum Allah, dan hak asasi tidak boleh digunakan sebagai perisai untuk menyebar ajaran yang memesongkan akidah umat Islam.
“Sehubungan itu, PEKIDA MALAYSIA mendesak Majlis Raja-Raja memperkukuh bidang kuasa Majlis Agama Negeri dan institusi fatwa di seluruh negara serta Kerajaan Persekutuan dan Negeri segera menyelaras semula undang-undang dan akta supaya tidak berlaku kekeliruan antara kuasa syariah dan kuasa persekutuan.
“NGO-NGO Islam dan umat Islam seluruhnya (didesak) bersatu menolak sebarang bentuk penyusupan ideologi sesat, liberalisme dan pluralisme ke dalam institusi kerajaan, agama, pendidikan dan juga masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Foto: Kenyataan Media Presiden PEKIDA Malaysia.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam dilapor menzahirkan kekecewaan dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu.
Sehubungan itu, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.
Turut menggesa sama adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil yang meminta SIS Forum menghentikan penggunaan istilah “Sisters in Islam”.
Dr Mohamed Azam berkata seruan itu adalah selaras dengan gesaan Sultan Selangor.
“Penggunaan nama tersebut tidak memberi gambaran sebenar malah mengelirukan masyarakat Islam, lebih-lebih lagi setelah Mahkamah Persekutuan mengabsahkan bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme telah difatwakan sebagai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan disiar di Facebook hari ini. — The Merdeka Times

Foto: Kenyataan Media Institut Kefahaman Islam Malaysia.