Terkini
SIS kena henti bicara perkara Islam susulan keputusan mahkamah – Peguam

- Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor turut menegaskan kerajaan juga perlu berhenti sebarang rujukan kepada syarikat tersebut berkenaan agama Islam.
- Mahkamah Persekutuan semalam secara majoriti memutuskan SIS Forum bukanlah entiti yang menganut agama Islam (dalam erti kata lain bukan Islam).
- “Bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan Islam sebagaimana orang Islam tidak mencampuri urusan orang bukan Islam,” katanya.
KUALA LUMPUR — Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) diminta berhenti daripada membicarakan perkara mengenai Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.
Malah, Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor turut menegaskan bahawa kerajaan juga perlu memberhentikan sebarang rujukan kepada syarikat tersebut berkenaan agama Islam.
Jelasnya, ia susulan Mahkamah Persekutuan semalam secara majoriti telah memutuskan SIS Forum bukanlah entiti yang menganut agama Islam (dalam erti kata lain bukan Islam).
“Bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan Islam sebagaimana orang Islam tidak mencampuri urusan orang bukan Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Mahkamah Persekutuan semalam sebulat suara memutuskan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 adalah sah setakat individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama sahaja. Ia tidak terpakai kepada SIS Forum sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat.
Fatwa yang diwartakan Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu sebelum ini dicabar keabsahannya oleh SIS Forum, selepas ia mengisytiharkan SIS Forum dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.— The Merdeka Times
