Politik
Rafizi desak pendakwa raya segera fail semula pertuduhan SRC terhadap Najib

- Rafizi tidak faham kenapa pendakwa raya ambil masa terlalu lama siapkan dokumen bukti, sedangkan Najib didakwa sejak 2019.
- Apatah lagi, kes itu bersabit dengan SRC, yang mana Najib kini sedang jalani hukuman atas sabitan bersalah dari kes pertama melibatkan SRC.
- Berdasarkan pengalaman Rafizi mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB, kes SRC ada bukti aliran tunai (money trail) yang lebih jelas.
-
Kelemahan ini perlu dijawab pihak pendakwa raya.
-
Rafizi seru pihak pendakwa mengesahkan AGC akan failkan semula pertuduhan secepat mungkin dan siapkan dokumen-dokumen dengan sewajarnya, agar kes itu dapat berjalan segera,
KUALA LUMPUR — Pendakwa raya perlu segera memfailkan semula pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd, selepas Mahkamah Tinggi hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri itu.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata beliau menghormati hak Najib untuk membuat permohonan DNAA kerana bekas Perdana Menteri itu telah menunggu lama sejak 2019, termasuk juga dengan keputusan Hakim K Muniandy yang membenarkan permohonan DNAA itu.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak memahami mengapa pihak pendakwa raya mengambil masa begitu lama dalam menyiapkan dokumen-dokumen bukti untuk dikemukakan di mahkamah bagi memulakan kes, sedangkan bekas perdana menteri terbabit telah didakwa sejak 2019.
“Apatah lagi, kes ini bersabit dengan SRC, yang mana Dato’ Seri Najib kini sedang menjalani hukuman atas sabitan bersalah dari kes pertama melibatkan SRC.
“Dari pengalaman saya mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini, penyelewengan melibatkan SRClah yang mempunyai bukti aliran tunai (money trail) yang lebih jelas.
“Kelemahan ini jelas perlu dijawab oleh pihak pendakwa raya. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini berlalu begitu sahaja atas kegagalan pendakwa (yang mewakili kerajaan) menyiapkan dokumen bukti ke mahkamah, berhubung satu skandal (iaitu SRC) yang telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.
“Oleh itu, saya menyeru supaya pihak pendakwa dapat mengesahkan bahawa Kamar Peguam Negara (AGC) akan memfailkan semula pertuduhan dengan secepat mungkin dan menyiapkan dokumen-dokumen dengan sewajarnya, agar kes ini dapat berjalan dengan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Rafizi, sebagai anggota Parlimen beliau akan mengikuti perkembangan kes itu dengan dekat agar ia tidak tercicir dari pandangan awam.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Rafizi Ramli.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan Najib daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.
Muniandy dalam penghakimannya berkata kes terhadap Najib telah tergantung selama enam tahun sejak 2019 tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan, hanya mengalami beberapa penangguhan sekali gus menunjukkan pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan.
“Pihak pendakwaan masih belum bersedia untuk mendakwa kes ini dalam masa terdekat kerana mereka belum memperoleh dan mengumpulkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh. Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi suatu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” katanya dipetik BERNAMA. — The Merdeka Times
