Antarabangsa
Perkataan ‘kafir’ pada kenderaan tentera AS cetus kemarahan penduduk Syria

- Kenderaan tersebut dilihat oleh wartawan Middle East Eye (MEE) pada pagi 31 Mei berhampiran bandar Hasakah.
- Selain mengibarkan bendera AS, kenderaan berperisai itu turut memaparkan simbol salib Kristian.
- Penduduk tempatan menyifatkan perbuatan itu sebagai menghina dan satu bentuk provokasi.
- Perkataan ‘kafir’ menjadi terkenal di peringkat global akibat penggunaannya secara meluas oleh kumpulan ekstremis seperti Negara Islam (IS) semasa perang saudara Syria untuk menghalalkan keganasan terhadap mereka yang dianggap tidak sehaluan termasuk umat Islam sendiri.
SYRIA — Penduduk di Timur Laut Syria mengecam tindakan sebuah kenderaan tentera Amerika Syarikat (AS) yang memaparkan perkataan ‘kafir’ yang bermaksud tidak beriman.
Penduduk tempatan menyifatkan perbuatan itu sebagai menghina dan satu bentuk provokasi.
Kenderaan tersebut dilihat oleh wartawan Middle East Eye (MEE) pada pagi 31 Mei berhampiran bandar Hasakah. Selain mengibarkan bendera AS, kenderaan berperisai itu turut memaparkan simbol salib Kristian.
Sebaik mengetahui krew MEE sedang membuat rakaman, askar AS menahan kereta MEE dan mengarahkan mereka berhenti mengambil gambar tanpa memberikan sebarang penjelasan.
Perkataan ‘kafir’ menjadi terkenal di peringkat global akibat penggunaannya secara meluas oleh kumpulan ekstremis seperti Negara Islam (IS) semasa perang saudara Syria untuk menghalalkan keganasan terhadap mereka yang dianggap tidak sehaluan termasuk umat Islam sendiri.
Walaupun IS tidak lagi kelihatan di kawasan itu, penduduk menyifatkan tindakan tentera AS secara sengaja menyatakan diri mereka sebagai ‘kafir’ bagi menyampaikan mesej tertentu kepada penduduk tempatan.
“Ini satu provokasi. Kami tiada kaitan dengan IS, kami tidak anggap orang Amerika sebagai kuffar, apatah lagi orang Kristian yang telah lama hidup bersama kami di Syria,” kata Jihan, seorang wanita Kurdish berusia 34 tahun kepada MEE.
“Ini terlalu bodoh untuk dianalisis mesej sebenarnya,” tambahnya.
MEE telah menghubungi pihak pentadbiran AS untuk mendapatkan komen, namun tidak menerima sebarang maklum balas sehingga artikel ini diterbitkan.-The Merdeka Times
